BREMEN (JERMAN): Tiupan angin kencang menyebabkan sebuah kapal persiaran yang membawa lebih 3,300 penumpang dan anak kapal berlanggar dengan dua kapal kontena ketika meninggalkan pelabuhan Bremerhaven di Laut Utara, Jerman, menurut polis pada Isnin ketika mendedahkan butiran baharu mengenai kemalangan pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Polis memaklumkan bahawa kapal persiaran Mein Schiff 3 yang dikendalikan TUI sedang berlepas menuju ke Kepulauan Canary pada petang Ahad apabila tiupan angin kencang menolak kapal itu ke arah dua kapal kontena yang sedang berlabuh di sepanjang tembok pelabuhan.
Menurut polis, sebuah kapal kontena mengalami kerosakan teruk akibat pelanggaran itu, manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kecil. Kapal persiaran berkenaan turut mengalami kerosakan teruk, dengan gambar menunjukkan bot penyelamat di atas kapal itu remuk.
"Pelanggaran itu menyebabkan bahagian kiri kapal kontena besar berkenaan terkoyak sepanjang beberapa meter dan struktur panduan kontena mengalami perubahan bentuk," menurut polis.
Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan mana-mana individu di ketiga-tiga kapal itu dan tiada air memasuki kapal berkenaan kerana kerosakan berlaku beberapa meter di atas paras air, menurut polis.
Mein Schiff 3 kembali ke terminal kapal persiaran selepas pelanggaran itu, manakala ketiga-tiga kapal berkenaan dilarang meninggalkan pelabuhan.
TUI Cruises pada Isnin mengesahkan pembatalan pelayaran berkenaan susulan kemalangan itu. Menurut pengendali berkenaan, kapal persiaran itu memerlukan kerja pembaikan di limbungan kapal.
Menurut TUI, seramai 2,428 penumpang dan 922 anak kapal berada di atas kapal persiaran itu ketika kejadian.
Rakaman video seorang saksi yang telah disahkan oleh dpa menunjukkan kapal persiaran itu meninggalkan pelabuhan dengan diiringi bot tunda ketika keadaan laut bergelora.
Dalam rakaman itu, kapal persiaran berkenaan dilihat semakin menghampiri sebuah kapal kontena yang berlabuh di sepanjang tembok pelabuhan sebelum merempuhnya.
"Saya rasa perjalanan kita berakhir di sini," kedengaran seorang wanita berkata dalam rakaman itu.
-- BERNAMA-dpa