KUALA LUMPUR: Hasrat skuad Harimau Malaya bawah 15 tahun (B-15) untuk menamatkan saingan Kumpulan H di kedudukan teratas pada Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 tidak kesampaian apabila tewas 0-1 kepada Mexico di Baku, Azerbaijan semalam.
Gol tunggal Mexico pada minit ke-18 memastikan pasukan dari rantau Amerika Latin itu muncul juara Kumpulan H dengan mengumpul 15 mata penuh selepas mengharungi lima perlawanan.
Malaysia terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri menentang Hungary pada aksi sebelah petang.
Sebagai naib juara kumpulan, skuad kendalian P Maniam akan beraksi di Tahap B bersama 23 pasukan lain yang turut menamatkan saingan di tangga kedua bagi baki kejohanan dari 28 hingga 30 Okt ini.
Kejohanan yang julung kali dianjurkan itu berlangsung dari 24 hingga 30 Oktober menggunakan format lapan sebelah, dengan setiap perlawanan dimainkan dalam dua babak, masing-masing selama 20 minit.
Sebanyak 191 pasukan negara dibahagikan kepada 24 kumpulan, manakala kedudukan akhir setiap kumpulan menentukan penempatan pasukan bagi saingan Tahap A hingga F.
-- BERNAMA