WELLINGTON: Proses pemindahan penduduk sedang dijalankan manakala lebih 220 kediaman terputus bekalan elektrik pada Isnin ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran belukar yang mengancam kawasan perumahan di Roxburgh, sebuah bandar di Wilayah Central Otago, New Zealand, lapor Xinhua.
Enam jentera bersama anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian susulan laporan kebakaran pokok sekitar 2.45 petang waktu tempatan, menurut agensi Bomba dan Kecemasan New Zealand.
Pasukan bomba berusaha mengawal kebakaran dari darat bagi melindungi rumah berhampiran, manakala pihak polis membantu proses pemindahan penduduk di bahagian timur bandar berkenaan, lapor Radio New Zealand.
Angin kencang menyukarkan anggota bomba melakukan pemadaman dari udara. Bekalan elektrik ke lebih 220 kediaman di Roxburgh turut diputuskan sebagai langkah keselamatan, menurut laporan itu.
Dalam pada itu, anggota bomba turut memadamkan kebakaran di Southland di Pulau Selatan serta berhampiran Desert Road di tengah Pulau Utara, dengan angin kencang mencetuskan amaran cuaca di sebahagian besar Pulau Selatan dan kawasan selatan Pulau Utara.
Central Otago kini diletakkan di bawah amaran angin kencang peringkat jingga yang dijangka berlarutan sehingga 9 malam waktu tempatan pada Isnin, menurut MetService.
-- BERNAMA-XINHUA