Skip to main content

Dunia

Angka kematian Gaza meningkat ke 73,223 sejak perang bermula - Laporan

81769655229_GAZA.jpg
Serangan ketenteraan Israel yang berterusan, pengepungan dan arahan pemindahan berulang kali terus mewujudkan keadaan hidup yang teruk bagi rakyat Palestin di Gaza. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh di Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa selama 276 hari, meningkat kepada 1,100, menjadikan angka kematian keseluruhan sejak meletusnya perang Israel-Hamas pada Oktober 2023 kepada 73,223, menurut laporan situasi mingguan terbaharu yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri Palestin.

Menurut laporan itu, operasi ketenteraan Israel diteruskan di seluruh Semenanjung Gaza walaupun gencatan senjata berjalan, dengan serangan, sekatan ke atas akses kemanusiaan dan kemusnahan infrastruktur awam memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah pun teruk.

“Serangan ketenteraan Israel yang berterusan, pengepungan dan arahan pemindahan berulang kali terus mewujudkan keadaan hidup yang teruk bagi rakyat Palestin di Gaza.

“Lebih 1.9 juta orang kekal kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya berulang kali, manakala tapak perpindahan yang sesak menghadapi kumbahan tidak dirawat, pengumpulan sisa, serangan tikus, air tercemar dan keruntuhan perkhidmatan penting,” katanya.

Laporan itu turut mendokumentasikan beberapa serangan dalam tempoh pelaporan itu, termasuk serangan udara di kawasan kejiranan Tel al-Hawa di Gaza yang mengorbankan dua rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, manakala serangan berasingan di Khan Younis dan Gaza City meragut enam lagi nyawa, antaranya dua kanak-kanak.

Menurut laporan itu, serangan dron Israel ke atas kenderaan awam di barat Kota Gaza membunuh seorang lagi warga Palestin, manakala serangan dron berasingan di Hospital Kamal Adwan di utara Gaza mencederakan sekurang-kurangnya tiga pekerja perubatan, seterusnya membebankan sistem penjagaan kesihatan di kawasan itu.

Kerajaan Palestin turut menekankan keadaan yang semakin teruk di Tebing Barat yang diduduki, memetik laporan oleh organisasi Israel Peace Now dan Kerem Navot yang mengatakan kerajaan Israel telah mempercepat pengilhakan de facto wilayah itu menerusi perluasan penempatan, peruntukan tanah dan perubahan tadbir urus struktur.

Menurut laporan itu, 185 pos penempatan baharu telah diwujudkan, rancangan dimajukan untuk lebih 40,000 unit penempatan dan lebih 1.1 juta dunam tanah (1,100 juta meter persegi) dibawa di bawah kawalan peneroka yang diperluas dalam tiga tahun pertama kerajaan Israel memerintah.

Laporan itu selanjutnya memetik Gabungan Wartawan Palestin sebagai mendokumentasikan 89 dakwaan pelanggaran terhadap wartawan dan pekerja media pada Jun sahaja, termasuk pembunuhan, penangkapan, serangan, penahanan sewenang-wenangnya dan halangan liputan berita.

Sementara itu, pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar pengarah hospital Gaza yang ditahan Dr Hussam Abu Safiya dan petugas kesihatan Palestin lain dibebaskan segera, berkata penahanan mereka mencerminkan apa yang mereka sifatkan sebagai sasaran sistematik sektor penjagaan kesihatan Gaza.

Laporan itu berkata sekurang-kurangnya 173,654 rakyat Palestin cedera sejak konflik bermula, manakala lebih 11,200 orang masih hilang dan lebih 1,700 petugas kesihatan dan 262 wartawan telah terbunuh.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement