SEOUL: Sejumlah 21 orang terkorban akibat penyakit berkaitan cuaca panas di Korea Selatan setakat tahun ini ketika negara itu berdepan gelombang haba melampau, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pihak berkuasa kesihatan pada Rabu.
Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, sebanyak 2,441 pesakit telah menerima rawatan di bilik kecemasan akibat masalah berkaitan cuaca panas setakat Selasa sejak pertengahan Mei, iaitu ketika pihak berkuasa mula melancarkan sistem pemantauan penyakit berkaitan haba.
Meskipun jumlah individu yang menderita akibat penyakit berkaitan cuaca panas tahun ini lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lepas, angka kematian mencatatkan peningkatan berbanding keseluruhan 20 kes kematian yang direkodkan tahun lepas.
Kematian terkini membabitkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang berada di luar rumah semasa bekerja di sebuah ladang di Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara pada Selasa.
Daripada keseluruhan kes pesakit yang dilaporkan tahun ini, kelesuan haba menyumbang sebanyak 61.7 peratus, diikuti strok haba sebanyak 16.8 peratus dan kekejangan otot akibat haba pada 11.5 peratus.
Agensi cuaca kebangsaan mengeluarkan amaran gelombang haba tahap serius tambahan bagi kawasan metropolitan Seoul awal hari ini, sekali gus meletakkan 43 peratus daripada wilayah berkenaan di bawah tahap amaran tertinggi.
Suhu di Seoul dijangka mencapai sehingga 39 darjah Celsius pada Khamis, menurut agensi itu.
-- BERNAMA-YONHAP