PAKAR penyakit berjangkit Dr Anthony Fauci yang menjadi jurucakap kerajaan Amerika Syarikat ketika pandemik COVID-19, akan bersara Disember ini.

Beliau yang kini berusia 81 tahun, menjadi ketua Institut Kebangsaan Alergi dan Penyakit Berjangkit (NIAID) sejak 1984 dan akan bersara selepas lima dekad berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Selain berkhidmat sebagai jurucakap COVID-19, Fauci juga merupakan penasihat kesihatan kepada Presiden Joe Biden.

Katanya, beliau akan meninggalkan kedua-dua jawatannya bagi meneruskan fasa lain dalam kariernya.

Beliau merupakan pakar yang memberikan taklimat harian ketika COVID-19 melanda pada 2020.

Bagaimanapun, di bawah bekas Presiden Donald Trump, Fauci seringkali diketepikan kerana perbezaan pendapat.

Namun, beliau meneruskan saranan kepada penduduk awam berkaitan pencegahan COVID-19, termasuk keperluan memakai pelitup muka di tempat awam.

Peranan Fauci kemudian diangkat ke tahap lebih tinggi di bawah pentadbiran Joe Biden.