Skip to main content

Dunia

Anwar tegaskan hak negara pilih haluan sendiri di Sidang Kemuncak BRICS

NEW DELHI, 13 Sept - Malaysian Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim waits to deliver his speech at the BRICS during the 18th BRICS Leaders "' Summit in New Delhi, India, today. - fotoBERNAMA
Anwar (foto) menyifatkan kebebasan memilih haluan masa depan sendiri adalah hak mutlak setiap negara berdaulat bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran rakyatnya. -Gambar Bernama
Advertisement

NEW DELHI: Malaysia menegaskan pendirian tegasnya untuk terus mempertahankan prinsip autonomi strategik dalam mengemudi dasar luar negara, bebas daripada cengkaman pengaruh atau tekanan persaingan kuasa besar dunia.

Pendekatan berprinsip itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kebebasan memilih haluan masa depan sendiri adalah hak mutlak setiap negara berdaulat bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran rakyatnya.

Menurut Anwar, penyertaan Malaysia sebagai 'Negara Rakan' (Partner Country) dalam blok ekonomi BRICS bukan bermatlamat mencari pengaruh semata-mata, sebaliknya wadah untuk memperjuangkan keadilan sejagat dan memperluas ruang diplomasi ekonomi pelbagai hala.

"Bagi Malaysia, autonomi strategik bermaksud kebebasan untuk memilih haluan kita sendiri, dan keberanian untuk mempertahankan pilihan itu apabila tiba masanya.

"BRICS berupaya memperluas pilihan kita serta memperkukuh keupayaan kita membentuk dunia di sekeliling kita.

"Namun pengaruh bukanlah matlamat akhir; ia hanya bermakna jika kita bersedia menggunakannya demi prinsip yang kita pertahankan.

"Sebagai Negara Rakan, Malaysia berhasrat menyumbang dalam semangat ini," tegas beliau.

Kenyataan berkenaan dizahirkan Perdana Menteri semasa menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi pleno Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di Pusat Konvensyen Bharat Mandapam, di sini, hari ini.

Menghubungkan prinsip autonomi itu dengan cabaran masa hadapan, Anwar menggesa negara-negara anggota BRICS merombak amalan perdagangan tidak adil menerusi pemerkasaan kerjasama teknologi tinggi secara perkongsian pintar.

Beliau menekankan kepentingan latihan dan pemindahan teknologi dalam bidang-bidang baharu, khususnya cip semikonduktor serta kecerdasan buatan (AI), bagi merapatkan jurang digital antara negara Selatan Global dan negara maju.

Menyentuh agenda kelestarian alam sekitar, Perdana Menteri menegaskan bahawa proses peralihan hijau (green transition) mestilah bersifat adil serta berpijak pada realiti kedudukan ekonomi sesebuah negara.

Jelas beliau, sesebuah negara tidak boleh dipaksa bergerak pada rentak yang sama tanpa mengambil kira keupayaan fiskal dan tahap pembangunannya.

Sebaliknya, BRICS perlu bersama melabur dalam teknologi mitigasi seperti penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), tegas Anwar.

Must Watch Video

Advertisement