Ringkasan AI
- DAP menyasarkan untuk mempertahankan empat kerusi DUN yang dimenangi pada PRN Melaka lalu serta merebut tiga kerusi tambahan yang diperuntukkan Pakatan Harapan.
- Jentera DAP seluruh negara akan digerakkan secara berperingkat bagi membantu kempen tujuh calon parti itu di bawah penyelarasan Pengerusi DAP Melaka.
- DAP akan menjalankan kempen positif dengan menekankan prestasi, rekod perkhidmatan calon dan pentadbiran Pakatan Harapan tanpa memainkan isu perkauman atau agama.
MELAKA: DAP menyasarkan untuk mempertahankan empat kerusi yang disandang parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Ayer Keroh.
Pengarah Pilihan Raya Kebangsaan DAP Wong Kah Woh berkata parti itu turut mengintai peluang untuk merebut tiga lagi kerusi yang diperuntukkan oleh Pakatan Harapan (PH) kepada DAP, iaitu DUN Gadek, Duyong dan Pengkalan Batu.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata jentera DAP dari seluruh negara akan digerakkan secara berperingkat bagi membantu kempen tujuh calon parti itu di bawah penyelarasan Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong.
“Kami akan cuba sedaya upaya bukan sahaja untuk memenangi empat kerusi yang kami menang pada PRN lepas tetapi pada masa sama, kami hendak menang lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bilik Operasi Pilihan Raya DAP DUN Kota Laksamana yang turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Lim Hui Ying, Khoo dan calon DAP DUN Kota Laksamana Low Chee Leong.
Wong berkata bagi PRN kali ini, DAP akan memastikan kempen yang dijalankan adalah positif dengan memberi tumpuan kepada prestasi serta rekod perkhidmatan calon masing-masing dan bukannya memainkan isu perkauman serta agama.
“Kami juga akan mengetengahkan rekod pentadbiran cemerlang Pakatan Harapan di peringkat negeri dan Persekutuan sebagai antara asas untuk mendapatkan kepercayaan pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian berikutan pengundi di Melaka dilihat semakin matang untuk menilai calon yang mampu mewakili serta membawa kepentingan kawasan masing-masing.
SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon PRN Melaka, hari pengundian pada 14 Nov manakala 10 Nov bagi pengundian awal.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.
-- BERNAMA