Skip to main content

Dunia

Trafik udara Eropah dijangka mengecil ke 110.000 penerbangan susulan ketegangan di Asia Barat

Perkembangan di rantau ECAC yang mendorong perubahan dalam laluan penerbangan dan menyebabkan harga bahan api jet melambung tinggi menjejaskan prospek pertumbuhan penerbangan Eropah. - Gambar hiasan
Perkembangan di rantau ECAC yang mendorong perubahan dalam laluan penerbangan dan menyebabkan harga bahan api jet melambung tinggi menjejaskan prospek pertumbuhan penerbangan Eropah. - Gambar hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Eurocontrol menjangka konflik Asia Barat akan menyebabkan kehilangan kira-kira 110,000 penerbangan di Eropah pada 2026.
  • Unjuran pertumbuhan trafik udara Eropah tahun ini disemak turun kepada 1.7 peratus, berbanding 2.7 peratus sebelum ini.
  • Faktor geopolitik, sekatan ruang udara dan harga tenaga dijangka terus mempengaruhi prospek pertumbuhan penerbangan Eropah.
Advertisement

ISTANBUL: Konflik yang berterusan di Asia Barat dijangka memperlahankan pertumbuhan trafik udara Eropah, yang membawa kepada kehilangan kira-kira 110,000 penerbangan pada 2026, menurut ramalan daripada agensi penerbangan Eurocontrol, lapor Anadolu Ajansi.

Sektor penerbangan Eropah menunjukkan prestasi di bawah jangkaan pertumbuhan walaupun permintaan penumpang yang kukuh pada musim panas.

Bilangan penerbangan di rantau Persidangan Penerbangan Awam Eropah (ECAC) dijangka meningkat 1.7 peratus tahun ini kepada 11.2 juta, di bawah unjuran pertumbuhan 2.7 peratus sebelum ini, menandakan semakan menurun 1 peratus mata.

Advertisement

Perkembangan di rantau ini yang mendorong perubahan dalam laluan penerbangan dan menyebabkan harga bahan api jet melambung tinggi menjejaskan prospek pertumbuhan penerbangan Eropah, tetapi Eurocontrol menjangkakan pertumbuhan akan memperoleh semula momentum tahun depan, dengan unjuran peningkatan 3.2 peratus kepada 11.6 juta penerbangan pada 2027.

Semakan menurun kepada unjuran pertumbuhan tahun ini menyemarakkan jangkaan bahawa bilangan penerbangan tahun depan juga mungkin kurang daripada anggaran.

Advertisement

Eurocontrol menganggap keadaan di Asia Barat akan stabil menjelang akhir suku pertama 2027, tetapi senario yang lebih pesimis meramalkan ketegangan berterusan sehingga akhir suku pertama 2028, dengan kos bahan api yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang lemah mengehadkan permintaan perjalanan udara.

Pemulihan dalam trafik udara dijangka menjadi lebih ketara tahun depan namun organisasi itu menyatakan bahawa pemulihan mungkin lebih kuat di Türkiye dan beberapa negara Mediterranean Timur.

Bilangan penerbangan di seluruh Eropah dijangka meningkat secara purata 2.1 peratus setahun dari 2026 hingga 2032, manakala jumlah penerbangan di rantau ini dianggarkan mencecah sekitar 12.8 juta menjelang 2032, menurut Eurocontrol.

Walaupun organisasi itu menjangkakan prospek pertumbuhan jangka sederhana kekal sama, bilangan penerbangan mungkin kurang sedikit daripada jangkaan sebelumnya disebabkan oleh perkembangan geopolitik.

Laporan pengurusan rangkaian Eurocontrol merekodkan purata 35,679 penerbangan sehari di ruang udara Eropah bulan lepas, meningkat 2.5 peratus bulan ke bulan.

Hari paling sibuk ialah pada 4 Sept, apabila 37,548 penerbangan dicatatkan di ruang udara Eropah.

Jumlah kelewatan akibat pengurusan aliran trafik udara mencecah lebih sedikit 2.4 juta minit, menurut laporan itu. Kekangan kapasiti, cuaca buruk dan isu pengurusan trafik udara menjejaskan prestasi operasi walaupun trafik udara meningkat.

Perkembangan geopolitik, sekatan ruang udara, harga tenaga dan permintaan perjalanan udara akan menentukan arah aliran dalam tempoh akan datang, menurut organisasi itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement