KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah rakyat Malaysia kepada keluarga mangsa, serta menzahirkan solidariti terhadap rakyat Colombia susulan gempa bumi dahsyat yang melanda wilayah barat negara itu.
Dalam satu kenyataan, beliau amat dukacita selepas menerima berita mengenai bencana berkenaan yang disifatkan sebagai gempa bumi paling kuat melanda Colombia dalam tempoh beberapa dekad.
“Atas nama Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mereka yang kehilangan nyawa serta simpati kepada semua yang terjejas,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada anggota penyelamat dan sukarelawan yang terus bertungkus-lumus mencari mangsa yang masih hidup, meskipun operasi berdepan gegaran susulan.
Anwar turut mendoakan agar mangsa yang cedera segera pulih, selain berharap mereka yang masih hilang dapat ditemukan dengan selamat.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Colombia pada waktu yang sukar ini.
“Kami turut bersama masyarakat antarabangsa mendoakan agar rakyat Colombia terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi hari-hari mendatang,” katanya lagi.
Pada Isnin, Colombia mengisytiharkan darurat selepas gempa bumi kuat mengorbankan sekurang-kurangnya 164 orang dan merosakkan lebih 1,500 bangunan.
Setakat ini, lebih 570 dilaporkan cedera manakala jumlah mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan belum diketahui.
Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud itu menggegarkan beberapa bandar di seluruh wilayah pengeluar kopi Colombia dan pantai Pasifik, menyebabkan penduduk yang ketakutan bergegas keluar ke jalan raya.