IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan melebihi RM200 juta bagi kerja-kerja membina semula dan menaik taraf pasar awam di seluruh negara dalam tempoh empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan itu disalurkan secara bersasar mengikut keperluan serta kategori pasar bagi memastikan prasarana awam tersebut selesa dan selamat untuk peniaga serta pengunjung, malah berpotensi diangkat sebagai mercu tanda pelancongan baharu.
Beliau berkata KPKT turut meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi tahun hadapan yang merangkumi RM30 juta khusus untuk menaik taraf pasar awam dan RM30 juta lagi bagi projek naik taraf medan selera di seluruh negara.
"Secara keseluruhan, KPKT telah berjaya melaksanakan lebih 16,000 projek prasarana awam di seluruh negara termasuk pembinaan dan naik taraf pasar, medan selera, tandas bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW), Taman MADANI, sistem perparitan serta pemasangan lampu solar yang merupakan rekod tertinggi dalam sejarah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Pertandingan Idea Konsep Reka Bentuk Cadangan Membina Pasar Pasir Puteh di sini hari ini.
Beliau berkata beberapa projek bina semula dan naik taraf pasar awam telah menelan belanja puluhan juta ringgit termasuk RM15 juta bagi transformasi Pasar Besar Ipoh, RM12 juta untuk pembinaan semula Pasar Pinji, serta peruntukan terbaru RM9 juta bagi membangunkan semula Pasar Pasir Puteh yang musnah dalam kebakaran pada Februari 2024.
“Selain itu, KPKT turut berjaya menaik taraf kesemua lapan pasar awam di Parlimen Taiping termasuk Pasar Besar Taiping yang dibina sejak 1873, selain membina semula Pasar Beruas dan Pasar Ayer Tawar di kawasan Manjung,” katanya.
Dalam usaha mentransformasikan imej pasar tradisional, Nga berkata kementerian menyasarkan untuk membangunkan sekurang-kurangnya sebuah pasar berpotensi tinggi di setiap ibu negeri sebagai destinasi tarikan pelancong, mencontohi kejayaan Central Market di ibu negara serta Pasar Payang di Kuala Terengganu.
"Pasar Besar Ipoh yang sedang menjalani proses transformasi diyakini mampu menarik bukan sahaja pelancong malah golongan generasi muda dengan penganjuran pameran seni, kraf tangan serta berperanan sebagai pusat jualan Batik Perak yang dilancarkan baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata sebagai langkah reformasi pentadbiran, semua pembinaan pasar baharu berskala besar melebihi RM10 juta di seluruh negara kini diwajibkan melalui pertandingan reka bentuk seni bina bagi memastikan elemen kelestarian, keselesaan dan daya huni diterapkan.
Sebagai contoh, reka bentuk Pasar Pasir Puteh setinggi dua tingkat akan dilengkapi sistem tenaga boleh baharu berasaskan solar bagi menjana bilik mesyuarat serta ruang aktiviti komuniti berhawa dingin di tingkat atas, selain sistem penuaian air hujan untuk kegunaan pembersihan lantai pasar.
Sementara itu, Kuee Architecture Sdn Bhd dinobatkan pemenang Pertandingan Idea Konsep Reka Bentuk Cadangan Membina Pasar Pasir Puteh, sekali gus membuka lembaran baharu pembangunan semula pasar tradisional berusia hampir 70 tahun itu.
Pertandingan yang berlangsung dari Mac hingga Jun lepas itu menerima 11 penyertaan daripada arkitek profesional, sebelum tiga finalis dipilih untuk membentangkan cadangan reka bentuk masing-masing pada 4 Jun lepas.
Pertandingan itu menetapkan kriteria reka bentuk yang menitikberatkan kemudahan pejalan kaki, kelestarian alam sekitar dan kecekapan tenaga bagi memastikan pasar baharu tersebut lebih moden, mesra pengguna serta berupaya menarik lebih ramai pengunjung.
-- BERNAMA