MIRI: Rekod pembangunan dan pencapaian pentadbiran perlu menjadi ukuran sokongan rakyat terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 khususnya dalam menilai keupayaan gabungan itu meneruskan usaha memajukan negeri.
Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dibina menerusi hasil kerja dan pencapaian pentadbiran beliau.
"Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan perlu dibuktikan melalui hasil kerja dan bukannya sekadar kata-kata kosong.
"Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, kerajaan negeri berjaya meningkatkan hasil pendapatan tahunan Sarawak. Sebelum ini, hasil negeri yang diperoleh melalui sumber seperti pembalakan, minyak dan gas, cukai serta sektor perladangan dianggarkan sekitar RM6 bilion setahun.
"Bagaimanapun, hasil pendapatan negeri kini meningkat dengan ketara sehingga mencecah kira-kira RM15 bilion setahun, hasil usaha dan perancangan ekonomi kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Mobilisasi Perdana GPS di Miri, pada Ahad.
Sementara itu, calon GPS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, keputusan menang tanpa bertanding di 29 kerusi DUN, perlu dihormati dan tidak wajar dianggap sebagai kelemahan proses demokrasi.
"Semuanya terpulang kepada rakyat. Jika rakyat yakin dan berpuas hati dengan apa yang telah dilaksanakan kerajaan, maka rakyatlah yang akan membuat keputusan. Kita tidak boleh menentukan pilihan mereka kerana akhirnya rakyat sendiri yang berhak membuat keputusan," katanya.
Pada Sabtu, GPS mencipta sejarah dalam pilihan raya negeri apabila memenangi 29 kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima 168 kertas pencalonan merangkumi GPS (82 calon); Parti Bansa Dayak Bersatu (PBDS) (29); Parti Bumi Kenyalang (PBK) (17); Parti Tindakan Demokratik (DAP) (14); Parti Bangsa Malaysia (PBM) (tiga); Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) (satu) serta 22 calon bebas.
Baki 53 kerusi akan menyaksikan persaingan calon-calon berkenaan pada 12 Disember ini.