Skip to main content

Malaysia

AI berkembang pesat, nilai moral tidak boleh diketepikan - Presiden UIAM

Abdul Rashid ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen UIAM Ke-42 di Kampus Gombak, pada Ahad. - Foto UIAM
Abdul Rashid ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen UIAM Ke-42 di Kampus Gombak, pada Ahad. - Foto UIAM

Ringkasan AI

  • Presiden UIAM menegaskan universiti perlu menilai semula pendekatan pendidikan agar graduan mampu berfikir kritis dan beretika dalam era AI.
  • Beliau menekankan kepentingan latihan berterusan dan panduan moral berlandaskan nilai Islam untuk menghadapi perubahan pesat teknologi kecerdasan buatan.
  • Majlis Konvokesyen UIAM Ke-42 meraikan 5,372 graduan, termasuk 472 graduan antarabangsa dari 64 negara, mencerminkan kepelbagaian komuniti akademik universiti.
Advertisement

GOMBAK: Institusi pengajian tinggi perlu menilai semula pendekatan pendidikan bagi memastikan graduan bukan sahaja menguasai ilmu, malah mampu berfikir secara kritis, menilai kesahihan maklumat serta membuat pertimbangan berlandaskan nilai moral dan etika dalam era kecerdasan buatan (AI).

Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Abdul Rashid Hussain, berkata perkembangan AI yang semakin pesat bakal mengubah landskap pekerjaan, keperluan kemahiran dan cara individu memperoleh ilmu, sekali gus menuntut universiti mempersiapkan mahasiswa untuk menghadapi perubahan tersebut.

“AI masih berada pada peringkat embrio, namun berkembang pada kadar yang luar biasa dan pantas, memperluas keupayaan manusia dan sempadan ilmu pengetahuan yang belum diketahui, yang akan membawa kita ke arah masa depan,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen UIAM Ke-42 di Kampus Gombak, di sini, pada Ahad.

Menurut Abdul Rashid, universiti tidak lagi boleh berfungsi sekadar sebagai institusi penyampai maklumat, sebaliknya perlu membentuk mahasiswa yang berupaya mempersoalkan, menilai dan memahami maklumat secara kritis, selaras dengan tradisi pemikiran Sokratik.

Advertisement

“Tidak memadai sekadar menjadi penerima maklumat.

“Universiti perlu melatih mahasiswa menggunakan pemikiran mereka untuk mempersoalkan maklumat yang relevan, selaras dengan tradisi pemikiran Sokratik,” ujarnya.

Image
UIAM_UIAM
 Abdul Rashid, menerusi ucapannya menekankan penganugerahan ijazah bukanlah pengakhiran pembelajaran, sebaliknya permulaan kepada usaha meningkatkan kemahiran secara berterusan bagi memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran pekerjaan yang semakin dipengaruhi AI. - Foto UIAM

Beliau turut menegaskan bahawa UIAM, sebagai universiti Islam, mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan prinsip dan nilai Islam dengan menyediakan panduan moral serta etika ketika pembangunan AI terus berkembang ke arah yang belum diketahui batasannya.

“Universiti ini, sebagai sebuah universiti Islam, berada pada kedudukan yang tepat untuk terus mempertahankan prinsip dan nilai Islam dengan menyediakan panduan moral yang diperlukan ketika pembangunan AI terus berkembang ke arah yang belum diketahui tahap batasan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan graduan bahawa penganugerahan ijazah bukanlah pengakhiran pembelajaran, sebaliknya permulaan kepada usaha meningkatkan kemahiran secara berterusan bagi memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran pekerjaan yang semakin dipengaruhi AI.

Majlis Konvokesyen UIAM Ke-42 yang berlangsung selama lima hari dari 28 November hingga 2 Disember 2026, meraikan seramai 5,372 graduan, termasuk 472 graduan antarabangsa dari 64 negara.

Jumlah itu mencerminkan kepelbagaian komuniti akademik antarabangsa UIAM serta komitmen universiti dalam melahirkan graduan berilmu dan berdaya saing di peringkat global.

Must Watch Video

Advertisement