Skip to main content

Malaysia

Hari Pembetungan Negara 2026 ketengahkan potensi air sisa

Majlis Perasmian Hari Pembetungan Negara 2026 mengetengahkan gimik dan montaj berkaitan kepentingan sektor pembetungan, termasuk peranannya dalam memelihara alam sekitar, sumber air dan kesihatan awam.  - Foto Jabatan Perkhidmatan Pembetungan
Majlis Perasmian Hari Pembetungan Negara 2026 mengetengahkan gimik dan montaj berkaitan kepentingan sektor pembetungan, termasuk peranannya dalam memelihara alam sekitar, sumber air dan kesihatan awam. - Foto Jabatan Perkhidmatan Pembetungan

Ringkasan AI

  • Hari Pembetungan Negara 2026 dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan sektor pembetungan dalam memelihara alam sekitar dan kesihatan awam.
  • Sektor pembetungan berpotensi berkembang melalui penggunaan semula air terawat, penghasilan biosolid dan biogas, namun perlu mematuhi aspek keselamatan dan kawal selia.
  • Indah Water Konsortium mengurus lebih 9,000 loji rawatan dan 22,000 kilometer paip, memerlukan kepakaran teknikal serta penyelenggaraan berterusan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Air sisa yang dirawat dengan sempurna bukan sahaja dapat mengurangkan risiko pencemaran, malah berpotensi dimanfaatkan semula bagi menyokong pengurusan sumber yang lebih lestari.

Sejajar dengan usaha itu, sambutan Hari Pembetungan Negara 2026 (HPN 2026) dianjurkan buat julung kali oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan sektor pembetungan, termasuk peranannya dalam memelihara alam sekitar, sumber air dan kesihatan awam.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Ir. Alias Mohamed berkata, sektor pembetungan kini mempunyai potensi untuk berkembang melangkaui fungsi tradisionalnya sebagai perkhidmatan rawatan air sisa, khususnya menerusi penggunaan semula air terawat dan penghasilan sumber baharu yang mempunyai nilai ekonomi.

Advertisement

Menurut beliau, antara potensi yang boleh diteroka termasuk penggunaan air pulih guna bagi tujuan yang bersesuaian, penghasilan biosolid untuk kegunaan yang dibenarkan serta pemanfaatan biogas sebagai sumber tenaga.

“Air sisa terawat dan produk sampingan rawatan kumbahan berpotensi dimanfaatkan sebagai sumber baharu yang mempunyai nilai ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Pembetungan Negara 2026 di IWK Eco Park, Pantai Dalam, di sini, pada Ahad.

Advertisement
Image
HPN 2026
Alias (dua, kiri) ketika melawat sekitar reruai pameran interaktif di sekitar acara Hari Pembetungan Negara 2026, di ibu kota, pada Ahad. - Foto Jabatan Perkhidmatan Pembetungan

Beliau berkata, pendekatan itu turut membuka ruang kepada pembangunan ekonomi kitaran dalam sektor pembetungan, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira aspek keselamatan, kualiti, standard teknikal, kebolehlaksanaan ekonomi dan keperluan kawal selia.

Dalam pada itu, Alias menegaskan sistem pembetungan memainkan peranan penting dalam memastikan air sisa daripada kediaman, premis perniagaan dan pembangunan dikumpulkan serta dirawat dengan sempurna sebelum dilepaskan ke alam sekitar.

Katanya, pengurusan yang tidak cekap bukan sahaja boleh menjejaskan kebersihan persekitaran, malah berisiko mencemarkan sungai dan sumber air serta memberi kesan kepada kesihatan awam.

Beliau turut mengiktiraf peranan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) sebagai rakan strategik utama dalam pengoperasian dan penyelenggaraan perkhidmatan pembetungan negara.

Image
HPN 2026
Alias (tiga, kiri) ketika melawat sekitar reruai pameran interaktif di sekitar acara Hari Pembetungan Negara 2026, di ibu kota, pada Ahad. - Foto Jabatan Perkhidmatan Pembetungan

Menurutnya, IWK menguruskan rangkaian lebih 9,000 loji rawatan kumbahan dan stesen pam serta lebih 22,000 kilometer paip pembetungan, yang memerlukan kepakaran teknikal, tenaga kerja berkemahiran dan penyelenggaraan aset secara berterusan.

“Skala operasi ini memerlukan kepakaran teknikal, tenaga kerja yang berkemahiran, penyelenggaraan aset yang sistematik serta pemantauan prestasi yang berterusan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya menggunakan sistem pembetungan secara bertanggungjawab, termasuk mengelakkan pembuangan sisa pepejal, minyak masak terpakai, lampin pakai buang dan tisu ke dalam tandas atau saliran kerana perbuatan itu boleh menyebabkan saluran tersumbat, gangguan operasi serta limpahan kumbahan.

Pemilik premis yang menggunakan tangki septik individu juga disaran memastikan penyelenggaraan dan pengosongan tangki dilaksanakan secara berkala mengikut keperluan serta panduan ditetapkan.

Sementara itu, pengunjung, Nur Fasihah Rosli, 27, berkata sambutan itu memberinya peluang memahami proses pengurusan air sisa yang sebelum ini kurang diketahui masyarakat.

Katanya, aktiviti interaktif termasuk paparan realiti maya dan demonstrasi robotik turut menarik minatnya kerana membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat bagaimana proses rawatan air sisa dilaksanakan.

Image
HPN 2026
Alias (empat, kiri) pada sesi bergambar bersama tetamu kehormat usai merasmikan Majlis Perasmian Hari Pembetungan Negara 2026 di ibu kota, pada Ahad. - Foto Jabatan Perkhidmatan Pembetungan

“Seronok datang ke sini kerana banyak perkara yang boleh dipelajari. Selama ini kita hanya tahu tentang air sisa, tetapi tidak tahu bagaimana prosesnya dan ke mana sisa itu pergi,” jelasnya.

Beliau turut berpendapat program seumpama itu wajar diperluas, khususnya kepada golongan muda, kerana dapat meningkatkan pengetahuan serta kesedaran tentang penggunaan air secara berhemah dan cara menguruskan sisa dengan betul.

Bertemakan “Pembetungan Lestari, Kehidupan Sejahtera”, sambutan yang berlangsung dari 8 pagi hingga 1 tengah hari itu turut menghimpunkan agensi kerajaan, pemain industri, institusi pendidikan dan komuniti setempat.

Dalam pada itu, Alias berharap sambutan itu bukan sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya dapat membina kesedaran berterusan tentang tanggungjawab bersama dalam menjaga sistem pembetungan demi melindungi kesihatan awam, memelihara alam sekitar dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Must Watch Video

Advertisement