KUALA LUMPUR: Pertemuan tiga hala yang dijangka melibatkan pemimpin Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada kerjasama pelbagai hala yang lebih luas menerusi platform Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), kata seorang pegawai APEC.
Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Eduardo Pedrosa berkata, kehadiran ketiga-tiga kuasa besar itu pada Minggu Pemimpin Ekonomi APEC di Shenzhen sebaliknya membuka peluang untuk mengadakan dialog dalam kerangka serantau lebih luas yang turut melibatkan kesemua 21 ekonomi anggota.
Sehubungan itu, beliau berkata, APEC kekal relevan sebagai platform yang membolehkan ekonomi anggota terus berkomunikasi dan membincangkan cabaran ekonomi bersama, meskipun berdepan perbezaan serta ketegangan geopolitik.
“Mengapa APEC penting? Ini kerana mereka bertemu disebabkan APEC. Ini bukan pertemuan G2 atau G3. Kesemua mereka hadir di sini menerusi APEC,” katanya pada taklimat media maya APEC hari ini.
Presiden AS, Donald Trump; Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Rusia, Vladimir Putin dijangka mengadakan pertemuan tiga hala pertama mereka di luar acara utama forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Shenzhen, China.
Pada Jumaat, Washington mengesahkan penyertaan Trump dalam forum itu yang akan berlangsung dari 18 hingga 19 November.
Pedrosa mengulas pertanyaan sama ada pertemuan yang dirancang melibatkan AS, China dan Rusia itu memberi petunjuk bahawa diplomasi kuasa besar semakin berpengaruh dalam menentukan hala tuju ekonomi dan geopolitik rantau ini, sekali gus berpotensi mengetepikan ekonomi anggota APEC yang lain.
Beliau berkata, kepentingan APEC pada hakikatnya melangkaui pertemuan politik peringkat tinggi, memandangkan organisasi itu melaksanakan pelbagai penglibatan sepanjang tahun.
Ia merangkumi perbincangan teknikal, pertukaran dasar serta kerjasama berkaitan piawaian dan peraturan serantau.
Organisasi itu juga mengadakan kira-kira 300 mesyuarat sepanjang tahun ini, menghimpunkan wakil kerajaan, kumpulan kerja teknikal dan komuniti perniagaan.
Menurut Pedrosa penglibatan sedemikian penting bagi memastikan kerjasama serantau khususnya dalam isu seperti kesalinghubungan, pembangunan infrastruktur, perdagangan dan integrasi ekonomi.
Antara kerjasama serantau yang dimaksudkan beliau termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) serta pelbagai aturan dua hala dan pelbagai hala yang melibatkan beberapa pihak.
Perjanjian dan inisiatif itu katanya membuktikan bahawa kerjasama serantau masih aktif.
“Masa depan multilateralisme dan regionalisme masih kukuh dan terus berkembang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Carlos Kuriyama berkata, penyertaan kesemua 21 ekonomi anggota dalam forum itu membuktikan pentingnya sesi dialog diteruskan meskipun berdepan ketegangan geopolitik.
Beliau berkata, penglibatan secara berkala antara delegasi memberi peluang untuk menangani perbezaan menerusi diplomasi serta meneroka cara memperkukuh kerjasama dua hala dan pelbagai hala.
Kuriyama menegaskan, matlamat lebih luas APEC kekal tertumpu kepada usaha membangunkan rantau Asia Pasifik yang terbuka dan bebas, sekali gus menggalakkan kemakmuran bersama serta pertumbuhan ekonomi mampan.
APEC ialah forum antara kerajaan yang menghimpunkan 21 ekonomi anggota di rantau Lingkaran Pasifik bagi menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik.
Pada 2025, anggota APEC mewakili kira-kira tiga bilion penduduk dan 61.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global.
Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC. Anggota lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.
China, Hong Kong dan Chinese Taipei menyertai APEC pada 1991, manakala Mexico dan Papua New Guinea menyertainya pada 1993.
Sementara itu, Chile menyertai APEC pada 1994, diikuti Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998, menjadikan jumlah keanggotaan APEC sebanyak 21.
-- BERNAMA