Skip to main content

Malaysia

Aduan: Tiada tindakan tatatertib, petugas kesihatan dinasihatkan guna saluran rasmi

Dr Mohd Azman berucap Majlis Pelancaran Graduan Penjagaan Aurat Pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II, hari ini. - Gambar Bernama
Dr Mohd Azman berucap Majlis Pelancaran Graduan Penjagaan Aurat Pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KOTA BHARU,: Kementerian Kesihatan (KKM) belum mengambil sebarang tindakan tatatertib terhadap petugas kesihatan yang menyuarakan aduan atau pandangan berkaitan isu dalaman kementerian, sebaliknya pendekatan nasihat diutamakan bagi memastikan perkara itu tidak menjejaskan tumpuan terhadap tugas hakiki.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM Datuk Dr Mohd Azman Yaacob berkata petugas yang masih berkhidmat, khususnya mereka yang menyuarakan pandangan sehingga melibatkan jabatan atau agensi lain, diberikan nasihat supaya menggunakan saluran rasmi untuk menyampaikan aduan dan permasalahan.

Beliau berkata aduan menerusi media sosial yang melibatkan kritikan terhadap jabatan atau agensi lain berpotensi mencetuskan ketegangan, selain menimbulkan polemik yang boleh mengganggu fokus petugas kesihatan terhadap tanggungjawab mereka.

Advertisement

“Setakat ini belum ada tindakan tatatertib, kita beri nasihat kepada mereka yang masih dalam perkhidmatan, terutama jika perkara yang dibangkitkan itu melibatkan jabatan lain atau agensi kerajaan.

“Kita mahu mereka menggunakan saluran yang betul untuk menyampaikan aduan dan pandangan, termasuk melalui pengurusan hospital, pengarah kesihatan negeri atau saluran yang tersedia dalam kementerian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Graduan Penjagaan Aurat Pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, hari ini.

Advertisement

Dr Mohd Azman berkata KKM sentiasa menyediakan ruang bagi membincangkan isu berkaitan kebajikan, keperluan serta permasalahan petugas kesihatan menerusi mesyuarat berkala, termasuk pertemuan bersama Ketua Pengarah Kesihatan dan pihak pengurusan tertinggi kementerian.

Katanya, isu berkaitan elaun, penempatan serta keperluan tenaga kerja tidak semestinya berada di bawah bidang kuasa KKM semata-mata, kerana sesetengah keputusan memerlukan penglibatan agensi lain termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata perkara berkaitan kebajikan petugas kesihatan terus dibincangkan menerusi mekanisme sedia ada, termasuk mesyuarat khas yang diadakan secara berkala bagi membolehkan isu berbangkit dibawa ke perhatian pihak berkaitan.

Dalam pada itu, Dr Mohd Azman berkata kenaikan elaun tugas on-call bagi pegawai perubatan dan pakar baru-baru ini berpotensi meningkatkan pendapatan bulanan petugas yang menjalankan tugas berkenaan, dengan tambahan secara kumulatif boleh mencecah kira-kira RM1,000 bagi mereka yang melaksanakan lima hingga enam tugas on-call sebulan.

Beliau berkata beberapa penambahbaikan lain turut dilaksanakan termasuk insentif bagi pegawai dalam tempoh pengalaman kerja terselia (SWE) serta kenaikan elaun pos-basik bagi jururawat daripada RM100 kepada RM200 mulai tahun depan.

Katanya, usaha memperkukuh kebajikan dan keperluan tenaga kerja sektor kesihatan perlu dilaksanakan secara berterusan memandangkan negara turut berdepan peningkatan keperluan perkhidmatan kesihatan susulan perubahan demografi dan penuaan penduduk.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement