Skip to main content

Malaysia

Pembetungan penting demi kesihatan awam, kelestarian alam sekitar

Alias berucap pada Majlis Perasmian Hari Pembentungan Negara (HPN) 2026 di IWK Eco Park hari ini. - Gambar Bernama
Alias berucap pada Majlis Perasmian Hari Pembentungan Negara (HPN) 2026 di IWK Eco Park hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan pembetungan perlu diberikan perhatian setara dengan perkhidmatan bekalan air dan elektrik kerana peranan pentingnya dalam menjamin kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) Alias Mohamed berkata kegagalan menguruskan sistem pembetungan dengan baik boleh mengancam kesihatan awam, mencemarkan sungai dan sumber air serta menjejaskan kualiti hidup masyarakat.

Beliau berkata sistem pembetungan yang cekap memastikan air sisa daripada kediaman, premis perniagaan dan kawasan pembangunan dirawat dengan sempurna sebelum dilepaskan semula ke alam sekitar.

Advertisement

“Justeru, pembetungan bukan sekadar soal pengurusan sisa, malah merupakan sebahagian daripada sistem perlindungan kesihatan awam dan alam sekitar yang perlu diberikan perhatian sewajarnya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Pembetungan Negara 2026 di sini hari ini.

Alias berkata Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) kini menguruskan lebih 9,000 loji rawatan kumbahan dan stesen pam serta lebih 22,000 kilometer paip pembetungan di seluruh negara.

Advertisement

Menurutnya, skala operasi itu memerlukan kepakaran teknikal, tenaga kerja mahir, penyelenggaraan aset secara sistematik serta pemantauan prestasi berterusan bagi menjamin kelancaran perkhidmatan.

Alias turut menyeru masyarakat supaya tidak membuang sisa pepejal, minyak masak terpakai dan lampin pakai buang ke dalam tandas atau saliran kerana perbuatan itu boleh menyebabkan saluran tersumbat, gangguan operasi dan limpahan kumbahan.

Beliau berkata pemilik premis yang menggunakan tangki septik individu juga perlu memastikan tangki berkenaan diselenggara dan dikosongkan secara berkala.

Dalam pada itu, Alias berkata kemajuan teknologi membuka peluang kepada pembangunan ekonomi kitaran dalam sektor pembetungan menerusi penghasilan produk bernilai ekonomi seperti air pulih guna, biosolid dan biogas.

Bagaimanapun, pelaksanaannya perlu mengambil kira aspek keselamatan, kualiti, piawaian teknikal, kebolehlaksanaan ekonomi dan keperluan kawal selia.

Sambutan Hari Pembetungan Negara yang julung kali dianjurkan tahun ini membawa tema “Pembetungan Lestari, Kehidupan Sejahtera” bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan sektor itu dalam kehidupan seharian.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement