Skip to main content

Dunia

Arab Saudi perlu iktiraf Israel untuk meterai perjanjian nuklear dengan AS, kata Donald Trump

Saudi Crown Prince and Prime Minister Mohammed bin Salman holds President Donald Trump's hand during a meeting in the Oval Office, November 18. REUTERS/Evelyn Hockstein Purchase Licensing Rights
Gambar fail menunjukkan Presiden AS, Donald Trump (kanan) bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman pada pertemuan di White House. Trump menegaskan, Arab Saudi tidak akan dibenarkan menjalankan aktiviti pengayaan uranium menerusi perjanjian tersebut. - Gambar fail Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan, perjanjian kerjasama tenaga nuklear antara AS dan Arab Saudi hanya akan diluluskan sekiranya Riyadh mengiktiraf Israel menerusi penyertaannya dalam Perjanjian Abraham.

Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump berkata, perjanjian nuklear awam itu yang disifatkannya hanya untuk tujuan bukan ketenteraan dan tidak melibatkan pengayaan bahan nuklear, tertakluk sepenuhnya kepada keputusan Arab Saudi menyertai Perjanjian Abraham.

“Perjanjian Nuklear Awam (tiada aktiviti pengayaan uranium dibenarkan)... yang hanya berkaitan penggunaan bukan ketenteraan... akan diluluskan, namun ia tertakluk sepenuhnya kepada penyertaan Arab Saudi dalam Perjanjian Abraham,” katanya.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada syarat penyertaan dalam perjanjian itu dimasukkan secara rasmi dalam teks perjanjian nuklear yang belum didedahkan kepada umum atau sama ada Arab Saudi telah bersetuju dengan syarat berkenaan.

Arab Saudi juga belum memberikan sebarang maklum balas terhadap kenyataan Trump.

Dalam perkembangan sama, jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata, Trump telah membangkitkan syarat tersebut kepada pemimpin Arab Saudi dalam beberapa siri perbincangan sebelum ini.

“Beliau telah menyatakan bahawa jika mereka tidak menyertai Perjanjian Abraham, maka perjanjian itu terbatal. Kami akan terus membincangkan perkara ini dengan rakan sejawat kami di Arab Saudi,” katanya.

Kenyataan Trump itu dibuat selepas beberapa pakar dan penggubal dasar menyuarakan kebimbangan bahawa perjanjian nuklear AS-Arab Saudi yang diumumkan pada Rabu berpotensi meningkatkan risiko percambahan senjata nuklear di rantau Asia Barat yang sememangnya tidak stabil.

Beberapa ahli Kongres daripada Parti Republikan dan Demokrat turut menyuarakan kebimbangan sama. 

Bagaimanapun, Parti Republikan yang diterajui Trump menguasai kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat, sekali gus menjadikan usaha untuk menyekat perjanjian itu sukar dilakukan.

Menurut Jabatan Tenaga AS, perjanjian tersebut merangkumi “perjanjian kerjasama nuklear aman” dan “perjanjian perlindungan dua hala.”

Jabatan itu menjelaskan, kedua-dua perjanjian berkenaan mewujudkan asas perundangan bagi kerjasama strategik bernilai berbilion dolar yang dijangka berlangsung selama beberapa dekad, termasuk menyokong objektif mencegah percambahan senjata nuklear.

Perjanjian itu juga akan dihantar kepada Kongres AS untuk semakan sebelum dilaksanakan.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pula memaklumkan, pihaknya menyedari rancangan AS dan Arab Saudi untuk memeterai perjanjian kerjasama nuklear awam dua hala serta permohonan bagi melaksanakan langkah pengesahan dan pemantauan berkaitan.

“Kami menantikan permohonan rasmi untuk proses pengesahan itu dan bersedia bekerjasama dengan AS serta Arab Saudi bagi memastikan pelaksanaannya,” menurut IAEA dalam satu kenyataan.

Perjanjian Abraham mula diperkenalkan ketika penggal pertama Trump sebagai Presiden AS, apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menormalisasikan hubungan diplomatik dengan Israel, mencatat sejarah sebagai negara Arab pertama berbuat demikian dalam tempoh beberapa dekad.

Sejak itu, Sudan, Maghribi dan Kazakhstan turut menyertai perjanjian tersebut.

Arab Saudi sebelum ini menegaskan, negara itu tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel tanpa penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka. 

Namun, White House kini memberi isyarat bahawa kerjasama nuklear dengan AS hanya boleh diteruskan jika Riyadh menyertai Perjanjian Abraham.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyambut baik kenyataan Trump itu dan menyifatkan penyertaan Arab Saudi dalam perjanjian tersebut sebagai “langkah bersejarah ke hadapan bagi keamanan di Asia Barat”.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyentuh secara langsung mengenai perjanjian nuklear berkenaan.

Menteri Ekonomi Israel, Nir Barkat sebelum ini berkata, negaranya mampu menerima pembangunan tenaga nuklear Arab Saudi selagi ia digunakan untuk tujuan aman.

Sebaliknya, bekas Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman memberi amaran bahawa setiap program nuklear ketenteraan lazimnya bermula melalui program nuklear awam.

Israel secara meluas dipercayai memiliki senjata nuklear, namun negara itu tidak pernah mengesahkan atau menafikan perkara berkenaan.

Perjanjian AS-Arab Saudi itu digambarkan Jabatan Tenaga AS sebagai kerjasama nuklear aman yang akan membuka peluang lebih luas kepada syarikat-syarikat Amerika dalam program tenaga nuklear Arab Saudi.

Isu nuklear kekal menjadi antara faktor utama ketegangan antara AS, Israel dan Iran sejak beberapa tahun lalu. Iran berulang kali menafikan dakwaan Barat bahawa ia berusaha membangunkan senjata nuklear.

Pada 2018, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman berkata, negaranya tidak bercadang membangunkan senjata nuklear. 

Namun beliau menegaskan, jika Iran berjaya memperoleh bom nuklear, Arab Saudi akan mengambil langkah sama secepat mungkin.

Laporan media AS sebelum ini mencadangkan bahawa perjanjian tersebut mungkin membolehkan Arab Saudi mengayakan uranium pada masa depan.

Uranium boleh digunakan sebagai bahan api loji kuasa, tetapi juga berpotensi digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear.

Namun, kenyataan terbaharu Trump dilihat menolak kemungkinan itu.

Pengarah Program Asia Barat di badan pemikir Defense Priorities yang berpangkalan di AS, Rosemary Kelanic menyifatkan, langkah membenarkan Arab Saudi membangunkan kemudahan pengayaan uranium sebagai sesuatu yang “amat mengejutkan.”

“AS tidak pernah melakukannya sebelum ini. Kami tidak pernah membantu negara lain melakukan pengayaan uranium di tanah mereka sendiri.

“Jika sesebuah negara mampu menghasilkan bahan api nuklear sendiri, risiko ia membangunkan senjata nuklear menjadi jauh lebih besar,” katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement