MAKKAH: Arab Saudi terus memperkukuh pengurusan dan pengagihan air Zamzam menerusi sistem bersepadu yang menggunakan teknologi moden bagi memenuhi keperluan jemaah dan pengunjung, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Usaha berkenaan bermula sejak era Raja Abdulaziz bin Abdulrahman Al Saud dan diteruskan hingga kini di bawah pemerintahan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Sepanjang tempoh itu, sistem pengagihan air Zamzam berkembang daripada kaedah tradisional kepada sistem bersepadu yang menggunakan teknologi dan kemudahan moden bagi memastikan ketulenan serta kualiti air berkenaan terpelihara, selain memudahkan akses kepada jemaah dan pengunjung Dua Masjid Suci.
Usaha berterusan itu turut bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan Arab Saudi yang disambut setiap 23 Sept bagi memperingati penyatuan negara di bawah Raja Abdulaziz serta perjalanan pembangunan yang dilalui negara itu dalam pelbagai bidang.
Antara keutamaan pembangunan itu ialah khidmat kepada Dua Masjid Suci dan penjagaan terhadap para jemaah serta pengunjungnya.
Pada masa ini, Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Dua Masjid Suci terus menyediakan air Zamzam kepada pengunjung menerusi sistem operasi bersepadu yang merangkumi bekalan dan pengagihan air, penyelenggaraan bekas air serta tempat minuman, selain kerja pembersihan, pembotolan dan perkhidmatan berkaitan.
Usaha itu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan sejumlah besar jemaah, pengunjung dan mereka yang menunaikan umrah.
Skala perkhidmatan berkenaan dapat dilihat menerusi jumlah penggunaan air Zamzam ketika musim puncak.
Penggunaan harian air Zamzam di Dua Masjid Suci mencecah kira-kira 1.56 juta liter pada musim berkenaan.
Selain itu, terdapat kira-kira 40,000 bekas air Zamzam di kedua-dua masjid, dengan lebih 1,530 petugas menyediakan perkhidmatan berkaitan.
-- BERNAMA-SPA