KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyerahkan segala urusan kuasa pelantikan Datuk Ismail Lasim kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan mencari jalan penyelesaian terbaik tentang susun atur pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan setelah mendapat perkenan Baginda.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, jika permasalahan adat terus berlaku di Negeri Sembilan, ia bukan sesuatu yang harus dicampuri oleh UMNO-BN.
"Pada hemat saya, kepentingan rakyat harus diberikan keutamaan.
"Kita serahkan perkara ini untuk diselesaikan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Bagaimanapun, kepentingan untuk pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar terutamanya menjelang persidangan Belanjawan 2027 Negeri Sembilan mesti dibuat.
"Untuk 24 ADUN Negeri Sembilan, BN akan mencari jalan penyelesaian bagaimana pentadbiran kerajaan negeri disusun atur setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-4 di Dewan San Choon Wisma MCA di sini pada Ahad.
Beliau turut ditemani Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Sebelum ini, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, sebanyak 24 dari 25 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, mencapai kata sepakat untuk akur dan mematuhi sebarang arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negeri itu.
Mohamad memberitahu, kesepakatan itu dicapai dalam satu perjumpaan khas yang berlangsung di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada Jumaat.
Terdahulu, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan media berkata, Ismail perlu menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ADUN untuk terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan berpandangan, adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa Istana mahu ADUN Juasseh itu kekal sebagai Menteri Besar memandangkan beliau sendiri menegaskan tidak meletakkan jawatan. - Sinar Harian