MANILA: Malaysia menggesa semua pihak menggandakan usaha bagi memuktamadkan draf Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) secepat mungkin susulan masih terdapat beberapa isu penting yang belum diselesaikan dalam rundingan berkenaan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata komitmen politik baharu daripada semua pihak amat diperlukan, khususnya ketika rundingan kini berada pada peringkat akhir dan kritikal.
"Malaysia, sejak mengambil alih tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama rundingan COC pada 2024, komited melaksanakan peranan itu dengan bekerjasama rapat bersama negara anggota ASEAN dan China bagi memastikan proses rundingan terus berjalan," katanya ketika menyampaikan intervensi pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49, di sini, pada Sabtu.
Malah, Mohamad berkata, rundingan berkenaan dipergiatkan sepanjang tahun ini dengan kekerapan pertemuan ditingkatkan kepada setiap bulan bagi mencapai matlamat menghasilkan COC yang berkesan dan substantif dalam tempoh sasaran tiga tahun yang dipersetujui pada 2023.
Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa isu tertunggak masih perlu diselesaikan segera, termasuk isu penting yang menjadi penanda aras rundingan, khususnya berkaitan sifat dan skop geografi COC.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memperbaharui komitmen politik dan menggandakan usaha bagi memastikan draf perjanjian berkenaan dapat dimuktamadkan secepat mungkin.
Mohamad berkata Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-29 dijangka menerima pakai dua kenyataan bersama bagi memperkukuh kerjasama strategik di antara ASEAN dan China, termasuk dalam sektor tenaga.
Menurutnya, dua kenyataan itu masing-masing berkaitan ulang tahun kelima Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China serta penubuhan Perkongsian Kerjasama Tenaga.
Beliau berkata, sidang kemuncak itu turut menyambut baik penguatkuasaan Protokol Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 (ACFTA 3.0), yang dijangka memperkukuh hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua pihak.
Selain itu, beliau memaklumkan, sidang berkenaan akan mengambil maklum cadangan China untuk menetapkan 2027 sebagai Tahun Kerjasama Kecerdasan Buatan (AI) ASEAN-China.
"Cadangan itu mencerminkan usaha memperluas kerjasama ASEAN-China dalam bidang teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan, yang semakin penting dalam pembangunan ekonomi digital serantau," ujarnya.