Ringkasan AI
- ASEAN belum membenarkan Myanmar kembali ke mesyuarat peringkat menteri dan ketua negara walaupun negara itu masih ahli ASEAN.
- Setakat ini, Myanmar hanya diwakili pegawai kanan bukan ahli politik dalam mesyuarat selepas rampasan kuasa tentera pada 2021.
- ASEAN tidak mahu menekan Myanmar keluar, namun krisis di negara itu memberi kesan kepada negara jiran termasuk Malaysia.
MANILA: ASEAN belum bersetuju menerima permintaan Myanmar untuk kembali menyertai mesyuarat di peringkat menteri dan ketua-ketua negara, meskipun negara itu kekal sebagai anggota pertubuhan serantau berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendirian ASEAN ketika ini adalah mengekalkan aturan sedia ada, iaitu penyertaan Myanmar dalam mesyuarat peringkat menteri dan ketua-ketua negara diwakili pegawai kanan yang bukan daripada kalangan ahli politik.
"Langkah itu dilaksanakan selepas rampasan kuasa tentera di Myanmar pada 2021, namun ia tidak bermakna keanggotaan negara itu dalam ASEAN digantung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di sini, pada Sabtu.
Menurut Mohamad, walaupun ASEAN tidak mencampuri urusan dalaman negara anggota, namun krisis di Myanmar sudah memberi kesan kepada negara jiran, termasuk Malaysia dan negara lain di rantau ini.
Beliau berkata, ASEAN pada masa sama tidak mahu menekan Myanmar sehingga negara itu mengambil keputusan untuk keluar daripada pertubuhan berkenaan, sebaliknya mahu memastikan kesatuan ASEAN terus terpelihara.