Skip to main content

Dunia

ASEAN ke-49 jadi tumpuan dunia: Trump hadir selepas sidang berakhir, Modi dan Li Qiang ke Manila

ASEAN 2026 bakal menyambut kehadiran pemimpin negara anggota ASEAN serta rakan dialog dari pelbagai rantau.
ASEAN 2026 bakal menyambut kehadiran pemimpin negara anggota ASEAN serta rakan dialog dari pelbagai rantau.

Ringkasan AI

  • Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Manila menghimpunkan sekurang-kurangnya 19 pemimpin dunia dan ketua organisasi antarabangsa dari Ahad hingga Rabu depan.
  • Antara pemimpin utama yang hadir ialah Presiden Amerika Syarikat, Perdana Menteri China, Perdana Menteri India, Perdana Menteri Kanada dan Presiden Brazil.
  • Sidang kemuncak turut disertai pemimpin ASEAN, rakan dialog serta ketua organisasi antarabangsa, dengan Myanmar hanya diwakili pegawai kementerian luar.
Advertisement

MANILA: Manila bakal menjadi tumpuan diplomatik antarabangsa apabila sekurang-kurangnya 19 pemimpin dunia dan ketua organisasi antarabangsa dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung dari Ahad hingga Rabu depan.

Penganjuran kali ini mengingatkan kepada Malaysia yang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025, sekali gus menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai medan pertemuan pemimpin dunia bagi membincangkan isu geopolitik, keselamatan dan ekonomi global.

Antara pemimpin utama yang dijangka menghadiri persidangan kali ini ialah:

Advertisement

 

1. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump 

Advertisement

Kehadiran Trump menjadi antara tumpuan utama apabila beliau dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat. 

Beliau merupakan pemimpin dunia terakhir yang dijadual tiba bagi menghadiri sidang kemuncak itu, dijangka mendarat di Manila pada pukul 5.30 petang, Rabu iaitu setengah jam selepas majlis penutupan berlangsung.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr selaku Pengerusi ASEAN 2026 dan Trump dijadual mengadakan pertemuan di luar rangka Sidang Kemuncak ASEAN, manakala Trump turut dijadual menghadiri beberapa pertemuan dua hala pada keesokan harinya. 

Lawatan itu merupakan kunjungan pertamanya ke Filipina sejak menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Manila pada 2017.

 

2. Perdana Menteri China, Li Qiang 

China dijangka diwakili Perdana Menteri, Li Qiang yang akan mengetuai delegasi negara itu dalam Sidang Kemuncak ASEAN-China.

Kehadirannya berlangsung ketika hubungan ASEAN-China terus menjadi perhatian, khususnya berkaitan perdagangan, pelaburan dan ketegangan di Laut China Selatan.

Presiden China, Xi Jinping bagaimanapun tidak dijadual menghadiri persidangan kali ini.

 

3. Perdana Menteri India, Narendra Modi 

Modi dijadual mengadakan lawatan ke Filipina dari  Selasa hingga Rabu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-India dan Sidang Kemuncak Asia Timur.

Kehadirannya mencerminkan kepentingan hubungan strategik ASEAN-India, khususnya dalam perdagangan, keselamatan maritim dan kerjasama teknologi.

 

4. Perdana Menteri Kanada, Mark Carney 

Carney tiba di Manila pada awal pagi Sabtu dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Marcos Jr pada hari sama.

Kehadiran beliau memberi ruang kepada pengukuhan hubungan ASEAN-Kanada, termasuk kerjasama perdagangan dan ekonomi.

 

5. Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva

Beliau tiba di Manila pada Jumaat bagi mengadakan lawatan negara sebelum menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49.

Penyertaan Brazil membuka peluang memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan antara ASEAN dengan Amerika Latin.

 

6. Pemimpin negara anggota ASEAN

Selain pemimpin kuasa besar dunia, sidang kemuncak itu turut menghimpunkan pemimpin sembilan negara anggota ASEAN yang lain bersama Marcos Jr.

Antaranya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Indonesia, Prabowo Subianto; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Pemimpin Kemboja, Laos, Vietnam dan Timor-Leste turut dijangka menyertai persidangan berkenaan.

Bagaimanapun, Myanmar tidak akan diwakili ketua kerajaan atau pemimpin politik tertingginya, sebaliknya diwakili Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal ASEAN, Kementerian Luar negara itu.

 

7. Pemimpin rakan dialog, ketua organisasi antarabangsa 

Sidang kemuncak kali ini turut menyaksikan penyertaan pemimpin dan wakil peringkat tinggi dari Australia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Rusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Antara yang dijadual hadir ialah Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese; Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi; Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

New Zealand pula diwakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, David Seymour, manakala Rusia diwakili Menteri Luarnya, Sergey Lavrov.

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva turut dijadual menyampaikan ucapan dalam sidang pleno.

Sidang kemuncak itu dijadual berakhir dengan Filipina menyerahkan Pengerusi ASEAN kepada Singapura untuk tahun 2027.

 

 

Must Watch Video

Advertisement