Skip to main content

Dunia

ASEAN, Korea Selatan seru perkongsian ekonomi lebih erat, praktikal

Asean, Korea Selatan
Inisiatif yang dicadangkan itu merangkumi kerjasama dalam bidang mineral, pemprosesan dan bahan termaju, pembuatan serta ekonomi kitaran. - Gambar fail
Advertisement

MANILA: Menteri-menteri ekonomi ASEAN dan Korea Selatan menyeru kerjasama perdagangan serta perkongsian yang lebih erat dan praktikal di tengah-tengah peningkatan ketegangan geopolitik di seluruh dunia, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Para menteri bertemu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina di Pasay City pada Ahad sempena Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN-Republik Korea (ROK) ke-23, yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Perdagangan Filipina Ma. Cristina Roque dan Menteri Perdagangan Korea Selatan Park Jung-sung.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, menteri-menteri berkenaan berkata mereka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau dan global termasuk krisis Asia Barat, sambil menyatakan bahawa peningkatan ketegangan geopolitik, tindakan perdagangan unilateral dan konflik serantau secara keseluruhannya mengancam sistem antarabangsa berasaskan peraturan.

Menurut mereka, perkembangan itu mengenakan beban kos yang ketara kepada perniagaan, menambah tekanan inflasi serta mewujudkan persekitaran operasi yang semakin sukar diramal, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Dalam keadaan mencabar ini, mesyuarat menegaskan bahawa perkongsian ekonomi yang lebih erat dan praktikal antara ASEAN dan ROK bukan sahaja penting, malah perlu dilaksanakan dengan segera,” menurut menteri berkenaan.

Mereka menegaskan semula komitmen negara masing-masing untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan, di samping mempertingkat integrasi rantaian bekalan yang lebih mendalam dan berdaya tahan.

Naik taraf FTA ASEAN-Korea Selatan

Para menteri turut mengalu-alukan permulaan rundingan untuk menaik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA).

Rundingan itu bertujuan memastikan AKFTA mempunyai nilai komersial, relevan kepada perniagaan, memudahkan perdagangan, moden serta responsif terhadap perkembangan serantau dan global.

Bidang baharu yang sedang dipertimbangkan termasuk kesalinghubungan rantaian bekalan, kerjasama tenaga, bahan mentah dan bahan perantaraan, pembangunan mampan, ekonomi hijau serta ekonomi digital.

Mesyuarat memaklumkan bidang berkenaan akan membantu memperkukuh daya tahan dan daya saing serantau, di samping menangani cabaran akibat perubahan iklim dan transformasi digital.

ASEAN dan Korea Selatan menggalakkan pegawai supaya berusaha mencapai kemajuan besar dalam rundingan itu menjelang 2027.

Menurut statistik awal ASEAN, perdagangan barangan dua hala antara ASEAN dan Korea Selatan mencecah US$226.1 bilion pada 2025, manakala pelaburan langsung asing (FDI) Korea Selatan ke ASEAN berjumlah US$8.9 bilion.

Angka itu meletakkan Korea Selatan sebagai rakan dagang keenam terbesar ASEAN dan sumber FDI ketujuh terbesar pada 2025.

Mesyuarat turut mengambil maklum cadangan Korea Selatan mengenai Perkongsian ASEAN-ROK bagi Rantaian Bekalan dan Bahan Perindustrian Berdaya Tahan, yang bertujuan memperkukuh daya tahan dan daya saing rantaian bekalan perindustrian serantau.

Inisiatif yang dicadangkan itu merangkumi kerjasama dalam bidang mineral, pemprosesan dan bahan termaju, pembuatan serta ekonomi kitaran.

Mesyuarat turut mengalu-alukan pelaksanaan berterusan Program Nasihat dan Penyelesaian Teknologi dari Korea, dengan tujuh negara anggota ASEAN menyertai 16 projek yang bertujuan memperkukuh kapasiti perindustrian.

-- BERNAMA-PNA

Must Watch Video

Advertisement