Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan mempertimbangkan cadangan melanjutkan tempoh konsesi parkir di HTAR daripada 12 kepada 15 tahun untuk mengurangkan kadar caj parkir sehingga separuh.
- Cadangan ini bertujuan meringankan beban kewangan pesakit dan waris, khususnya golongan berpendapatan rendah serta B40 yang sering menggunakan perkhidmatan hospital.
- Pemasangan sistem parkir mekanikal di HTAR kini siap 90 peratus, menambah 72 petak parkir dan menjadikan jumlah keseluruhan sekitar 2,100 petak.
KLANG: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia mengemukakan cadangan untuk melanjutkan tempoh konsesi tempat letak kereta di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) daripada 12 kepada 15 tahun bagi membolehkan kadar caj parkir dikurangkan sehingga separuh.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan itu antara langkah yang boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan beban kewangan pesakit dan waris, khususnya golongan berpendapatan rendah serta B40.
Beliau berkata kos pengangkutan dan parkir merupakan antara perbelanjaan tambahan yang perlu ditanggung pesakit setiap kali mendapatkan rawatan di hospital.
Menurutnya, perkara itu lebih ketara di HTAR memandangkan majoriti pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di hospital berkenaan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
"Saya sangat sedar betapa hospital ini majoritinya adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah, B40.
"Saya tahu cabaran untuk mengatasi kos pengangkutan dan juga kos parkir. Sebab itu saya letakkan kos pengangkutan sebagai perkara penting," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke HTAR, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata isu berkenaan perlu diteliti kerana kadar parkir ketika ini tertakluk kepada perjanjian kontrak konsesi selama 12 tahun.
Beliau berkata kementerian bersedia mengemukakan cadangan supaya tempoh konsesi dilanjutkan kepada 15 tahun dengan syarat kadar bayaran dapat dikurangkan sehingga 50 peratus.
"Saya bersedia untuk memajukan satu cadangan untuk dipertimbangkan supaya mungkin juga kita panjangkan konsesi.
"Cadangan saya, daripada 12 tahun kita boleh memberi mereka 15 tahun tetapi kita dapatkan kos menjadi separuh, mungkin jadi lebih mampu dibayar oleh rakyat, khasnya golongan berpendapatan rendah," katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan cadangan itu masih perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira terma kontrak konsesi sedia ada dan belum merupakan keputusan muktamad.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly berkata kerja pemasangan sistem parkir mekanikal di HTAR kini siap kira-kira 90 peratus.
Kemudahan itu dijangka menyediakan tambahan kira-kira 72 petak parkir, menjadikan jumlah keseluruhan tempat letak kereta di hospital berkenaan kepada sekitar 2,100 petak.
Beliau berkata pihak pengurusan hospital akan terus meneliti penggunaan ruang dan tanah sedia ada bagi memaksimumkan kapasiti parkir untuk kemudahan pesakit serta waris.
Pada masa sama, KKM turut meluluskan peruntukan RM2.5 juta bagi memperkukuh kemudahan dan kelancaran operasi HTAR, termasuk menaik taraf sistem pengurusan giliran di Kompleks Rawatan Harian (ACC) serta perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan.
Langkah penambahbaikan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pengalaman pesakit dan memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan di hospital berkenaan lebih lancar.
Kos mendapatkan rawatan di hospital kerajaan bukan sahaja melibatkan perbelanjaan perubatan, malah turut merangkumi kos pengangkutan dan parkir, khususnya bagi pesakit yang memerlukan rawatan susulan atau perlu hadir berulang kali ke hospital.
Isu itu merupakan antara perkara yang dibangkitkan kepada KKM ketika lawatan kerja Menteri Kesihatan ke HTAR.