KUALA TERENGGANU: Fasa pertama Projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berkapasiti 595 megawatt (MW) dijangka siap pada suku ketiga 2028.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Hanafiah Mat berkata projek itu kini dalam fasa pembangunan dengan kerja fizikal dan lapangan telah bermula pada suku ketiga tahun ini.
Beliau berkata projek yang mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan bagi fasa pertama itu dijangka memberikan manfaat kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan serta perniagaan sokongan yang dapat dimanfaatkan seawal fasa pembangunan.
“Bagi memastikan penglibatan pemain industri tempatan, antara syarat pelaksanaan projek ialah sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah nilai kontrak perlu dianugerahkan kepada kontraktor atau peniaga tempatan Terengganu, tertakluk kepada pematuhan syarat kelayakan dan daya saing,” katanya.
Hanafiah berkata demikian pada sesi soal jawab dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini bagi menjawab soalan Mamad Puteh (PAS-Kuala Berang) yang bertanyakan perkembangan semasa projek itu.
Hanafiah berkata projek itu dilaksanakan di bawah program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS), dengan tenaga elektrik yang dijana akan dibeli oleh pembeli korporat.
Mengenai keadaan jalan raya yang mengalami kerosakan di laluan ke kawasan projek, beliau mengakui keadaan itu memberikan kesan kepada pelaksanaan projek itu, namun jalan alternatif telah disediakan untuk sementara bagi memastikan kerja pembangunan dapat diteruskan.
Projek HHFS melibatkan kerjasama antara anak syarikat penjanaan kuasa Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Genco Sdn Bhd dan anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc.
Projek perintis HHFS di Empangan Tasik Kenyir mempunyai kapasiti 100 kilowatt (kW) dan meliputi keluasan 1,085 meter persegi dengan 220 panel solar.
Pelaksanaannya membuktikan Tasik Kenyir seluas 36,900 hektar berpotensi besar untuk pembangunan solar terapung, dengan sehingga 10 peratus daripada permukaannya boleh digunakan bagi menjana anggaran 2,200 MW tanpa menjejaskan ekologi tasik.
-- BERNAMA