Skip to main content

Malaysia

Anwar manfaatkan sidang kemuncak ASEAN ke-49 demi kepentingan Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) bergambar bersama pemimpin ASEAN semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina. — fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) bergambar bersama pemimpin ASEAN semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina. — fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengutamakan keselamatan tenaga, perdagangan dan kerjasama serantau pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila.
  • Malaysia mencadangkan penubuhan Dana Jerebu Mampan dan menekankan keperluan kerjasama saintifik serta pembelian tenaga antara negara ASEAN.
  • Malaysia menggesa komitmen baharu dalam rundingan Kod Tata Laku Laut China Selatan dan menekankan kepentingan perdagangan seimbang dengan China.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha memanfaatkan peluang yang tersedia menerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila bagi memajukan kepentingan Malaysia, khususnya dalam aspek keselamatan tenaga, perdagangan serta kerjasama serantau.

Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata pada sesi pemukiman pemimpin ASEAN, Anwar mengusulkan agar Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN diperkasakan semula bagi meningkatkan keupayaan rantau ini menghadapi gangguan bekalan tenaga.

Perdana Menteri turut menggesa negara anggota ASEAN mengutamakan pembelian tenaga antara satu sama lain sebelum mendapatkan bekalan dari luar rantau.

Advertisement

“Konflik di sekitar Selat Hormuz mendedahkan kebergantungan Asia Tenggara terhadap laluan perairan sempit yang terletak jauh dari rantau ini,” kata Mohd Faiz yang turut menyertai delegasi rasmi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, menerusi artikel pendapat yang dikongsi dengan Bernama.

Beliau berkata Malaysia turut mencadangkan penubuhan Dana Jerebu Mampan (Sustainable Haze Fund) bagi memastikan pembiayaan lebih stabil untuk usaha serantau menangani masalah jerebu, selain memperkukuh kerjasama saintifik supaya kerajaan negara anggota dapat mengambil tindakan berdasarkan data dan bukti yang sama.

Advertisement

“Musim kemarau akan datang bakal menjadi ukuran sebenar keberkesanan usaha ini, lebih daripada sebarang kenyataan bersama yang dikeluarkan pada sidang kemuncak,” katanya.

Mengenai Myanmar, Mohd Faiz berkata Anwar menekankan kepentingan meneruskan hubungan dengan Naypyitaw, termasuk melalui inisiatif hubungan terbaharu beliau, memandangkan ASEAN sukar mencapai kemajuan tanpa saluran perhubungan yang berterusan.

Di Manila, para pemimpin bersetuju mengekalkan penyertaan wakil bukan politik Myanmar dalam sidang kemuncak ASEAN dan mesyuarat menteri-menteri luar, namun menggalakkan negara anggota berhubung dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan melalui rundingan dengan Pengerusi ASEAN.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Faiz berkata Perdana Menteri Kanada Mark Carney menggesa Anwar memanfaatkan lebih banyak peluang yang ditawarkan negaranya, selain mengundang beliau mengadakan lawatan ke Kanada.

Pertukaran pandangan itu berlangsung ketika ASEAN dan Kanada mengumumkan pemuktamadan substantif rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas, menurut Mohd Faiz.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-China pula, kenyataan negara Malaysia mengalu-alukan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China yang dinaik taraf sambil menekankan kepentingan perdagangan yang seimbang, katanya.

Mohd Faiz berkata Malaysia berhujah bahawa pertumbuhan perdagangan tidak seharusnya menjejaskan perusahaan yang lebih kecil.

Malaysia turut menggesa komitmen politik yang diperbaharui bagi memuktamadkan rundingan mengenai Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan.

“Kerjasama ekonomi yang lebih erat dengan Beijing dan usaha mempertahankan hak maritim Malaysia boleh dilaksanakan secara serentak, selagi cabaran dalam satu bidang tidak menghalang kemajuan dalam bidang lain,” kata beliau.

Mohd Faiz berkata ASEAN kekal relevan meskipun mempunyai kekangan tersendiri kerana menyediakan platform kepada negara anggota untuk menguruskan perbezaan pendirian serta berurusan dengan kuasa-kuasa besar.

“ASEAN tidak mampu menyelesaikan setiap pertikaian atau melindungi negara anggotanya daripada semua kejutan luaran.

“Namun, ASEAN memberikan sebab kepada negara yang sering berbeza pendirian untuk terus bekerjasama, selain menyediakan asas lebih kukuh dalam hubungan dengan dunia luar,” katanya.

Beliau berkata keberkesanan sebenar penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu akan dinilai menerusi sejauh mana peluang yang dibuka oleh Perdana Menteri dapat diterjemahkan kepada manfaat untuk rakyat Malaysia.

“Perbincangan mengenai pembiayaan perlu diterjemahkan kepada projek sebenar, manakala peluang yang dikenal pasti bersama rakan antarabangsa mesti disusuli dengan tindakan,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement