Skip to main content

Dunia

ASEAN terima pakai Deklarasi Manila untuk perkukuh kesiapsiagaan bencana

CEBU (Philippines), May 6 -- The Philippines assumes the ASEAN Chairmanship from Malaysia on Jan 1, 2026, under the theme “Navigating Our Future, Together,” focusing on three pillars: Peace and Security Anchors, Prosperity Corridors and People Empowerment.    -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Teodoro berkata deklarasi itu bukan dokumen tetap, sekali gus membolehkan ASEAN menyesuaikan pendekatannya berdasarkan perubahan bencana dan risiko. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

MANILA: Negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bersetuju untuk memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana dengan mempercepatkan usaha pencegahan dan tindakan awal, susulan penerimaan rasmi Deklarasi Manila pada penutupan Persidangan Peringkat Menteri ASEAN mengenai Daya Tahan Bencana (AMCDR) 2026 selama dua hari di Pasay City pada Rabu.

Dalam ucapan penutupnya, Setiausaha Pertahanan Gilberto Teodoro Jr., yang juga Pengerusi Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana, berkata deklarasi itu akan menjadi panduan kepada kerjasama serantau mengenai daya tahan bencana sehingga 2030 dan seterusnya, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

“Tatkala Persidangan Peringkat Menteri ASEAN mengenai Daya Tahan Bencana 2026 melabuhkan tirainya, adalah menjadi satu penghormatan bagi saya, atas kapasiti sebagai Pengerusi Mesyuarat Peringkat Menteri, untuk mengumumkan bahawa kita telah meluluskan Deklarasi Manila secara rasmi,” kata Teodoro.

Beliau berkata deklarasi itu menetapkan tiga bidang tindakan, iaitu mempercepatkan pelaksanaan Program Kerja Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Respons Kecemasan (AADMER) 2026-2030; memperkukuh kebertanggungjawaban, pemantauan dan pembelajaran ASEAN untuk ketahanan  bencana; serta membentuk agenda ketahanan bencana ASEAN menjelang 2030 dan seterusnya.

Teodoro berkata deklarasi itu bukan dokumen tetap, sekali gus membolehkan ASEAN menyesuaikan pendekatannya berdasarkan perubahan bencana dan risiko.

"Dan kita bersetuju bahawa ini akan menjadi dokumen yang sentiasa dikemas kini serta memberikan fleksibiliti, kecekapan bertindak dan kerjasama bagi menghadapi bencana dengan lebih berkesan apabila ia berlaku serta berdasarkan apa yang kita pelajari,” katanya.

Teodoro berkata deklarasi itu dijadualkan untuk diambil maklum oleh pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 pada November, tertakluk kepada persetujuan semua negara anggota.

Memandangkan rantau ASEAN merupakan antara kawasan paling terdedah kepada bencana di dunia, tumpuan utama persidangan adalah keperluan untuk bertindak sebelum bencana berlaku bukannya bergantung terutamanya kepada tindakan susulan selepas bencana melanda.

-- BERNAMA-PNA

Must Watch Video

Advertisement