Skip to main content

Dunia

Satelit teleskop NASA dijangka terbakar ketika memasuki atmosfera Bumi selepas 22 tahun di orbit

Balai Cerap Neil Gehrels Swift seberat kira-kira 1,452 kilogram dijangka keluar dari orbit sekitar 3.30 pagi waktu tempatan (0830 GMT). - Foto X/NASA Watch
Balai Cerap Neil Gehrels Swift seberat kira-kira 1,452 kilogram dijangka keluar dari orbit sekitar 3.30 pagi waktu tempatan (0830 GMT). - Foto X/NASA Watch

Ringkasan AI

  • Satelit Balai Cerap Neil Gehrels Swift milik NASA dijangka memasuki semula atmosfera Bumi dan terbakar pada awal Rabu selepas hampir 22 tahun beroperasi.
  • NASA menyatakan risiko kecederaan kepada individu akibat serpihan satelit adalah sangat rendah, dianggarkan satu dalam 2,100.
  • Usaha menyelamat menggunakan kenderaan LINK gagal, menyebabkan Swift meneruskan laluan ke atmosfera dan menamatkan sumbangannya dalam bidang astrofizik.
Advertisement

WASHINGTON: Sebuah satelit teleskop milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) yang telah beroperasi hampir 22 tahun dijangka mengakhiri misinya apabila memasuki semula atmosfera Bumi dan terbakar pada awal Rabu.

Menurut NASA, Balai Cerap Neil Gehrels Swift seberat kira-kira 1,452 kilogram dijangka keluar dari orbit sekitar 3.30 pagi waktu tempatan (0830 GMT).

Sebahagian kecil serpihan mungkin terselamat daripada proses kemasukan semula itu, namun peluang ia mengancam kawasan berpenduduk adalah sangat rendah.

Advertisement

NASA berkata Angkatan Angkasa Lepas AS menganggarkan risiko kecederaan kepada individu di Bumi hanya sekitar satu dalam 2,100.

Satelit Swift bernilai AS$500 juta yang dilancarkan pada 2004 merupakan balai cerap angkasa berbilang gelombang pertama seumpamanya.

Advertisement

Ia digunakan untuk mengkaji letupan sinar gamma dan pelbagai fenomena kosmik lain menerusi tiga teleskop yang dibawanya.

Walaupun pada asalnya direka untuk misi selama dua tahun, Swift terus beroperasi jauh melebihi jangkaan dengan membuat pemerhatian terhadap pelbagai objek angkasa, termasuk galaksi yang dikuasakan lohong hitam supermasif, bintang yang memancarkan suar sinar-X, serta komet dan asteroid dalam sistem suria.

Namun, tanpa sistem pendorongan sendiri, satelit itu secara beransur-ansur kehilangan ketinggian orbit sejak beberapa bulan lalu, menyebabkan para saintis mencari jalan untuk memanjangkan hayat operasinya.

Pada Julai lalu, NASA bersama syarikat pemula berpangkalan di Arizona, Katalyst, melancarkan kenderaan khas dikenali sebagai LINK bagi cuba menyelamatkan Swift.

Misi itu bertujuan merapatkan kedudukan dengan satelit berkenaan, mencengkamnya dan menariknya ke orbit yang lebih tinggi serta stabil.

Bagaimanapun, usaha berkenaan gagal apabila kenderaan LINK mula berpusing tanpa kawalan sejurus selepas tiba di angkasa.

Menjelang pertengahan Ogos, pengurus misi terpaksa membatalkan operasi tersebut dan membiarkan Swift meneruskan laluan akhirnya menuju kemusnahan.

Percubaan menyelamat itu mendapat perhatian meluas kerana dianggap sebagai ujian penting bagi teknologi penyelenggaraan satelit di orbit.

Teknologi berkenaan dilihat mempunyai peranan strategik dalam persaingan angkasa antara AS dan China serta berpotensi digunakan bagi tujuan ketenteraan dan awam.

Katalyst sebelum ini menyifatkan projek LINK sebagai usaha bersejarah selepas berjaya mereka bentuk, membina dan menguji kenderaan penyelamat itu dalam tempoh hanya sembilan bulan menerusi kontrak NASA bernilai AS$30 juta.

Sejak dilancarkan lebih dua dekad lalu, Swift membantu ahli astronomi memahami antara letupan paling berkuasa di alam semesta iaitu pancaran sinar gamma yang berasal dari galaksi jauh, selain menyumbang kepada pelbagai penemuan penting dalam bidang astrofizik.

 

 

Must Watch Video

Advertisement