NEW DELHI: Anggota tentera India dan China cedera dalam konfrontasi fizikal antara satu sama lain di Garis Kawalan Sebenar (LAC) antara kedua-dua negara, Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh memberitahu Parlimen pada Selasa.

Singh berkata, pada 9 Dis tentera China "cuba melanggar" LAC di kawasan Yangtse Sektor Tawang di Arunachal Pradesh di timur laut India dan "secara unilateral menukar status quo".

Ini membawa kepada "pergelutan fizikal" yang menyebabkan "kecederaan pada beberapa anggota di kedua-dua belah pihak", kata menteri India dalam kenyataannya, sambil menambah tiada kematian atau kecederaan serius anggota tentera negara itu.

"Pihak China diminta mengelak daripada melakukan tindakan sedemikian dan mengekalkan keamanan dan ketenteraman di sepanjang sempadan. Isu itu juga telah dikemukakan kepada pihak China melalui saluran diplomatik," katanya.

Konfrontasi terbaharu yang mencetuskan suasana tegang di sepanjang sempadan itu pertama kali dilaporkan dalam media pada Isnin, mengingatkan pertempuran fizikal antara tentera India dan China di Lembah Galwan di wilayah Ladakh pada Jun 2020.

Konfrontasi itu menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 20 tentera India dan empat tentera China. - BERNAMA