ATLET dan pelancong dimaklumkan untuk mempertimbangkan kesihatan sebelum menghadiri Sukan Olimpik yang akan berlangsung di Rio pada Ogos ini, lapor portal Metro.co.uk.

Pemakluman itu dibuat kerana pegawai-pegawai keselamatan sedang berusaha untuk membendung penyebaran virus Zika.

Virus Zika, yang dibawa oleh nyamuk itu memberi simptom seperti demam dan selesema dalam kalangan orang dewasa.

Bagi golongan bayi pula, ia dikaitkan dengan kecacatan kelahiran.

Kes-kes terawal direkodkan di Brazil, dengan 1.5 juta kes dilaporkan, dan Brazil bakal menyambut kedatangan ribuan tetamu sempena menjadi tuan rumah Sukan Olimpik tahun ini.

Oleh itu, para atlet dan pelancong dari negara-negara lain yang ingin melakukan perjalanan ke Sukan Olimpik dinasihati untuk mempertimbangkan keputusan sebelum melawat Rio de Janeiro.

Menurut seorang pegawai kesihatan Australia, David Hughes, mana-mana ahli pasukan yang hamil pada masa itu perlu berfikir dua kali sebelum membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Brazil.

Bagaimanapun, pasukan Australia, Rusia, Amerika dan British berkata mereka sedang memantau keadaan dengan teliti.