MELBOURNE: Australia menentang peningkatan tindakan ketenteraan Israel di Lubnan dan berpendapat bahawa sebarang gencatan senjata di Asia Barat perlu merangkumi Lubnan, lapor Xinhua memetik kenyataan Menteri Luar Australia, Penny Wong, pada Rabu.
Ketika ditemu bual oleh Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), Wong berkata, pendirian Canberra adalah jelas dan menolak sebarang tindakan yang membawa kepada peningkatan konflik, sambil menegaskan bahawa gencatan senjata “sepatutnya sejak awal lagi turut melibatkan Lubnan.”
“Kami menentang peningkatan tindakan Israel di Lubnan... kami mempunyai pendirian yang jelas dalam situasi ini mengenai peningkatan konflik yang tidak kami sokong,” katanya.
Beliau turut menegaskan, tanpa pelaksanaan gencatan senjata yang turut melibatkan Lubnan, sukar untuk melihat bagaimana gencatan senjata yang lebih luas di rantau itu dapat diteruskan atau diperkukuhkan.
Wong mengesahkan bahawa Australia pada Selasa telah mengenakan sekatan kewangan dan larangan perjalanan terhadap tiga individu serta empat entiti di Israel sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan oleh peneroka Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.
Dalam kenyataan media yang diterbitkan di laman rasmi Kementerian Luar Australia, Canberra memaklumkan, tindakan itu dilaksanakan secara selari dengan pendirian rakan antarabangsa termasuk New Zealand.
Ini merupakan kali pertama sekatan Australia menyasarkan kota kara pertanian peneroka Israel di Tebing Barat yang menurut kenyataan itu berfungsi sebagai pusat kegiatan keganasan peneroka.
Kenyataan itu turut menegaskan komitmen teguh Australia terhadap penyelesaian dua negara, yang disifatkan sebagai “satu-satunya jalan ke arah keamanan dan keselamatan berkekalan” bagi kedua-dua rakyat Israel dan Palestin.
-- BERNAMA-XINHUA