Skip to main content

Dunia

Australia catat bilangan tertinggi anoreksia dan bulimia - Kajian

Jumlah kes bagi kedua-dua gangguan pemakanan itu di seluruh dunia meningkat sebanyak 71 peratus antara 1990 hingga 2023 dan dijangka terus bertambah sehingga 2050. - Gambar hiasan
Jumlah kes bagi kedua-dua gangguan pemakanan itu di seluruh dunia meningkat sebanyak 71 peratus antara 1990 hingga 2023 dan dijangka terus bertambah sehingga 2050. - Gambar hiasan

Advertisement

SYDNEY: Australia mencatatkan bilangan kes anoreksia nervosa dan bulimia nervosa tertinggi di dunia, dengan anggaran 1,026.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk, menurut satu kajian global, lapor Xinhua.

Jumlah kes bagi kedua-dua gangguan pemakanan itu di seluruh dunia meningkat sebanyak 71 peratus antara 1990 hingga 2023 dan dijangka terus bertambah sehingga 2050.

Dapatan itu menekankan keperluan untuk mengintegrasikan gangguan pemakanan ke dalam sistem pemantauan kesihatan mental, usaha pencegahan, pengesanan awal dan perancangan penjagaan di seluruh dunia, menurut ringkasan yang diterbitkan di laman sesawang Australian Science Media Centre pada Khamis.

Anoreksia nervosa ialah gangguan pemakanan yang dicirikan oleh sekatan pengambilan makanan secara melampau, ketakutan yang keterlaluan terhadap kenaikan berat badan serta persepsi yang menyimpang terhadap berat atau bentuk badan. Keadaan itu boleh menyebabkan berat badan turun ke tahap yang membahayakan dan mengakibatkan komplikasi kesihatan yang serius.

Sementara itu, bulimia nervosa ialah gangguan pemakanan yang melibatkan episod makan secara berlebihan dan berulang, diikuti tingkah laku yang bertujuan mengelakkan kenaikan berat badan, seperti memuntahkan makanan secara sengaja, bersenam secara berlebihan atau menyalahgunakan julap.

Kedua-duanya merupakan keadaan kesihatan mental yang serius dan boleh menjejaskan kesejahteraan fizikal serta emosi seseorang, sekali gus memerlukan rawatan yang sewajarnya.

Berdasarkan analisis Global Burden of Disease 2023, kajian itu menganggarkan kira-kira 18.1 juta orang di seluruh dunia mengalami satu daripada kedua-dua gangguan berkenaan pada 2023, termasuk 3.92 juta individu dengan anoreksia dan 14.2 juta individu dengan bulimia.

Damian Santomauro, ahli epidemiologi di University of Queensland dan penulis kanan kajian itu, memberitahu Australian Broadcasting Corporation bahawa kedudukan Australia sebagai negara dengan bilangan kes tertinggi adalah “mengejutkan dan membimbangkan”.

Wanita merangkumi hampir 70 peratus daripada jumlah kes global manakala kira-kira 41 peratus melibatkan individu berusia antara 10 hingga 24 tahun.

Peningkatan terbesar direkodkan di Asia Timur, Asia Selatan dan Asia Tenggara, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal JAMA Psychiatry.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement