Skip to main content

Dunia

Australia catat peratusan tertinggi pekerja dengan lebih daripada satu pekerjaan

71643102117_MELBOURNE.jpg
Menurut data ABS, bilangan individu dengan lebih daripada satu pekerjaan meningkat 6.6 peratus daripada 984,200 orang pada Mac, manakala 14.1 juta orang hanya mempunyai satu pekerjaan. - Gambar hiasan
Advertisement

CANBERRA: Bilangan rakyat Australia yang melakukan lebih daripada satu pekerjaan mencecah satu juta orang pada Jun 2026, mewakili 6.9 peratus daripada keseluruhan penduduk yang bekerja, paras tertinggi pernah direkodkan, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat, lapor Xinhua.

Bilangan individu dengan lebih daripada satu pekerjaan meningkat 6.6 peratus daripada 984,200 orang pada Mac, manakala 14.1 juta orang hanya mempunyai satu pekerjaan, menurut data yang dikeluarkan Biro Statistik Australia (ABS).

Menurut ABS, wanita lebih cenderung berbanding lelaki untuk melakukan lebih daripada satu pekerjaan, dengan 7.7 peratus wanita yang bekerja mempunyai lebih daripada satu pekerjaan berbanding 6.2 peratus lelaki.

Pekerja berusia 20 hingga 24 tahun mencatatkan kadar tertinggi bagi mereka yang melakukan lebih daripada satu pekerjaan pada 11.2 peratus, manakala hanya 3.1 peratus pekerja berusia 65 tahun dan ke atas mempunyai lebih daripada satu pekerjaan, menurut statistik itu.

Kadar pekerja yang mempunyai lebih daripada satu pekerjaan kekal antara lima hingga enam peratus dari 1994 hingga 2019 sebelum merosot mendadak semasa pandemik COVID-19, menurut jabatan itu, yang menambah bahawa kadar berkenaan sejak itu meningkat kepada paras tertinggi 6.9 peratus dan kekal pada atau melebihi 6.4 peratus sejak Jun 2022.

Pada Mac, individu yang mempunyai lebih daripada satu pekerjaan bekerja secara purata 39.3 jam seminggu bagi keseluruhan pekerjaan mereka, berbanding 34.8 jam bagi mereka yang mempunyai satu pekerjaan, menurut jabatan itu, sambil menambah bahawa mempunyai lebih daripada satu pekerjaan lebih lazim di kawasan luar metropolitan berbanding di ibu negeri.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement