Skip to main content

Dunia

Australia larang pelajar antarabangsa bawa pasangan dan anak di bawah pelan imigresen baharu

[TB]_adelaide university, south australia_ADOBE STOCK IMAGES
Di bawah peraturan semasa, pelajar antarabangsa dibenarkan membawa pasangan serta anak yang masih di bawah tanggungan, dengan pasangan turut diberi kebenaran bekerja. - Gambar hiasan
Advertisement

SYDNEY: Australia akan menghalang pelajar antarabangsa daripada membawa pasangan dan anak-anak untuk tinggal bersama mereka sepanjang tempoh pengajian sebagai sebahagian daripada langkah memperketat dasar imigresen negara itu.

Langkah tersebut dijangka diumumkan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Australia, Tony Burke, menerusi ucapan mengenai pembaharuan sistem migrasi negara di National Press Club.

Di bawah peraturan semasa, pelajar antarabangsa dibenarkan membawa pasangan serta anak yang masih di bawah tanggungan, dengan pasangan turut diberi kebenaran bekerja tertakluk kepada syarat visa dan jenis pengajian pelajar berkenaan.

Kerajaan Australia juga dijangka memperketat peraturan yang membolehkan pemegang visa sementara menukar kategori visa untuk terus berada di negara itu, dalam usaha membendung amalan yang dikenali sebagai "visa hopping".

Menurut laporan media tempatan, Canberra menyasarkan untuk mengurangkan migrasi bersih luar negara kepada 225,000 orang menjelang 2028 berbanding kira-kira 300,000 ketika ini.

Langkah itu dibuat ketika isu imigresen semakin menjadi perhatian politik susulan peningkatan sokongan terhadap parti berhaluan kanan, One Nation, yang baru-baru ini mencadangkan pengurangan besar jumlah migran sementara bagi mengurangkan tekanan terhadap perumahan dan infrastruktur negara.

Australia menyaksikan peningkatan ketara jumlah migran selepas sempadannya dibuka semula pada 2022 berikutan penamatan sekatan pandemik COVID-19.

Pelajar antarabangsa, pengembara bekerja dan pekerja mahir sementara menjadi penyumbang utama kepada peningkatan tersebut.

Bagaimanapun, angka migrasi itu menunjukkan trend penurunan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Data rasmi menunjukkan migrasi bersih luar negara berjumlah 306,000 bagi tahun berakhir Jun 2025, berbanding 429,000 pada 2024 selepas mencapai rekod tertinggi 518,000 pada 2023. Pelajar antarabangsa menyumbang lebih separuh daripada jumlah itu.

Tahun lalu, Australia meluluskan lebih 337,000 visa pelajar, termasuk hampir 46,000 permohonan melibatkan tanggungan atau ahli keluarga.

 

 

Must Watch Video

Advertisement