Skip to main content

Dunia

Australia rekod kes pertama selesema burung pada mamalia

61464842215_BabySeal.jpg
Australia pada Ahad mengesahkan kes pertama selesema burung pada mamalia selepas seekor anjing laut berbulu berhidung panjang yang ditemukan di Australia Selatan disahkan positif virus itu. - Foto hiasan
Advertisement

ISLAMABAD: Australia pada Ahad mengesahkan kes pertama selesema burung pada mamalia selepas seekor anjing laut berbulu berhidung panjang yang ditemukan di Australia Selatan disahkan positif virus itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

Menteri Pertanian Persekutuan Julie Collins memberitahu pemberita bahawa anjing laut itu ditemukan di Beachport, 300 kilometer ke selatan Adelaide, ibu negeri Australia Selatan, menurut Australian Broadcasting Corporation.

“Walaupun perkembangan ini membimbangkan, kami sememangnya menjangkakan jangkitan akan mula dikesan dalam hidupan liar lain, khususnya mamalia marin, terutama di kawasan yang mencatatkan kadar jangkitan tinggi dalam kalangan burung liar,” kata Collins.

Beliau berkata jangkitan itu berkemungkinan berpunca daripada pendedahan kepada burung liar yang dijangkiti atau persekitaran yang dikongsi bersama, sambil menambah bahawa kes berkenaan dilihat tidak mempunyai kaitan dengan mamalia marin lain yang sakit atau mati.

Sebanyak 298 kes positif selesema burung H5 direkodkan di Australia sejak penularan wabak itu, dengan 194 daripadanya di Australia Selatan.

“Pada peringkat ini, tiada bukti jangkitan dalam sistem penternakan unggas atau pertanian kami,” kata Collins.

Menteri Alam Sekitar Australia Selatan Emily Bourke berkata jumlah kes yang dikesan di negeri itu amat membimbangkan, manakala kes membabitkan anjing laut berbulu berkenaan merupakan “sesuatu yang sememangnya kami jangkakan akan berlaku.”

Beliau berkata “tiada penawar” atau tiada kaedah untuk menghentikannya, namun kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan dalam melaksanakan program vaksinasi kebangsaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement