Badan induk FIA sahkan portal pemandu Formula One digodam

Antara maklumat yang berpotensi diakses termasuk data pasport milik juara dunia F1, Max Verstappen. - Gambar/ AP
MEXICO CITY: Badan induk Formula Satu (F1), Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan bahawa portal pemandu yang dikendalikan mereka digodam awal tahun ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Jurucakap FIA mengesahkan perkara itu di luar Grand Prix Mexico, selepas penggodam sebelum ini mendedahkan pelanggaran keselamatan itu di media sosial.
Kumpulan penggodam berkenaan mendakwa mereka merupakan peminat F1 dan tidak mempunyai niat jahat, sebaliknya hanya mahu menunjukkan kelemahan sistem keselamatan laman sesawang itu.
"FIA menyedari insiden siber yang melibatkan laman web Klasifikasi Pemandu FIA pada musim panas lalu. Langkah segera telah diambil bagi melindungi data para pemandu," menurut kenyataan FIA.
Antara maklumat yang berpotensi diakses termasuk data pasport milik juara dunia F1, Max Verstappen, namun laporan media menyatakan penggodam tidak melihat atau menyimpan sebarang maklumat sensitif sebelum menghentikan tindakan mereka.
FIA turut memaklumkan bahawa kumpulan penggodam itu telah memberitahu pihaknya mengenai kelemahan keselamatan berkenaan pada awal Jun.
Portal itu terus ditutup serta diperbaiki dengan kerjasama kumpulan itu bagi mengelakkan serangan siber berulang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


