Jam lebih kurang pukul 2.30 petang dan cerita sudah tersebar di Jalan al-Jalla.

Serangan udara Israel akan bermula. Sasarannya: sebuah bangunan kelabu yang sederhana tinggi di tengah-tengah Gaza City.

Kanak-kanak berhimpun di balkoni. Anak-anak muda berkumpul di satu simpang jalan. Sebahagian yang lain menyusun bata dan tayar kereta menutup bahagian jalan yang melalui bangunan itu. Seorang lelaki tampil mengawal lalu-lintas. Kereta berhenti. Orang makin ramai keluar menjenguk. Mata mereka terpaku pada bangunan yang sudah sampai takdirnya itu.

Mereka menunggu ritual kemusnahan yang mengerikan pada hari ke-24 perang.

Gaza
Orang ramai melihat bedilan misil yang disasarkan ke atas sebuah kediaman di Gaza City baru-baru ini. (The Washington Post/Max Becherer)
Beberapa minit sebelum itu, tentera Israel menelefon anak lelaki Bashir al-Ramlawi, 58, tuan punya bangunan itu. Bagaimana mereka dapat nombor telefonnya tidak ada siapa yang tahu. Suara di hujung talian memberitahu lelaki itu yang keluarganya mesti mengosongkan rumah mereka dengan segera. Mereka akan diserang.

Lelaki itu kelam-kabut menghubungi ayahnya. Si ayah kelam-kabut memberitahu ahli keluarga yang lain, yang kini sudah berjumlah 35 orang kerana kebanyakan mereka meninggalkan rumah masing-masing di serata Gaza untuk berlindung di rumah Bashir, katanya kemudian. Mereka sekarang jadi pelarian lagi.

Barangkali jiran-jiran mereka melihat keluarga itu melarikan diri dalam masa lima minit selepas mendapat panggilan telefon itu. Barangkali anak lelaki Bashir menelefon kawan-kawannya. Barangkali tentera Israel sendiri yang menghubungi penduduk di kawasan itu. Apapun yang terjadi, cerita tersebar seperti api yang marak dan tidak lama kemudian, semua orang di Jalan al-Jalla tahu tentang serangan udara itu.

Dan mereka menunggu.

Gaza
Penduduk di Gaza City melihat kepulan asap daripada sebuah bangunan yang musnah dibedil oleh tentera Israel. (The Washington Post/Max Becherer)

Tiba-tiba terdengar dentuman yang kuat dan selepas itu nampak kepulan asap yang seperti cendawan. Bangunan itu telah dibedil. Tetapi tidak ada sesiapa yang berganjak. Mereka tahu itu hanya permulaan.

Beberapa minit kemudian, sebutir bom lagi terdengar berdesing di udara dan menghentam bangunan itu. Asap berkepul menyelubungi jalan. Tidak lama kemudian, bedilan ketiga datang. Bangunan itu masih tegak berdiri.

Orang ramai masih juga tidak pergi. Mereka tahu aturannya. Mengikut pengalaman mereka, tiga bedilan pertama adalah bom kecil daripada drone Israel. Kata mereka, bedilan itu amaran kepada sesiapa yang masih duduk dekat dengan bangunan itu serta untuk melembut struktur bangunan seperti seorang peninju yang berulang-ulang menumbuk lawannya sebelum tumbukan padu yang menumbangkan.

Bedilan padu itu datang pada pukul 2.50 petang. Deru pesawat pejuang F-16 membelah angkasa. Sebuah misil bersirip berdesing di atas kepala setiap orang yang ada di Jalan al-Jalla dan kemudian memusnahkan bangunan itu. Kepulan asap tebal tiga kali ganda lebih besar daripada tiga bedilan pertama mengapung ke udara.

Ia satu bedilan yang tepat. Tidak ada yang terbunuh atau cedera. Bangunan di sekelilingnya juga tidak tersentuh.

Selesailah sudah semuanya. Beberapa minit kemudian, jalan dibuka semula. Kereta lalu-lalang melintasi bangunan yang runtuh itu. Semuanya nampak kembali seperti asal, kecuali wajah Bashir.

"Saya tidak tahu kenapa mereka membedil rumah saya," katanya menahan sebak. Katanya lagi, dia tidak ada sebarang hubungan dengan Hamas, kumpulan yang mentadbir Gaza.

Katanya, kebanyakan saudara mara yang menumpang tinggal dengannya lari daripada pertempuran di Shijaiyah dan sekarang mereka semua tidak ada rumah.

"Kami tidak tahu hendak ke mana," kata Bashir sambil orang ramai terus merakamkan foto rumahnya yang kini sudah ranap dengan kamera daripada telefon mereka. -- Oleh Sudarsan Raghavan, The Washington Post