ST LOUIS:Sebuah penjara di St Louis, Amerika Syarikat terbakar pada Sabtu selepas ratusan banduan merusuh akibat peraturan ketat yang dikenakan susulan pandemik COVID-19.

Mereka turut menyebabkan banjir di tingkat empat bangunan penjara tersebut serta memecahkan tingkap dan membaling kerusi dan tilam ke luar.

Menurut jurucakap datuk bandar Lyda Krewson, Jacob Long, puluhan pegawai keselamatan serta berjaya mengawal keadaan dan memadamkan kebakaran itu selepas beberapa jam.

Jelasnya, 115 banduan terlibat dalam kejadian itu, dan mereka dikatakan tidak berpuas hati selepas ahli keluarga mereka dilarang adakan lawatan serta prosiding mahkamah ditangguhkan, susulan sekatan baharu yang dikenakan.

Seorang pegawai penjara dilaporkan cedera dalam insiden tersebut dan dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan.'

Tiada banduan tercedera dalam kejadian berkenaan.

Beberapa video yang dimuat naik oleh penduduk di sekitar kawasan tersebut menunjukkan banduan berkenaan berdiri di beberapa tingkap yang telah dipecahkan di tingkat empat Penjara St Louis.

"Terdapat kesan kebakaran di bahagian hadapan bangunan tersebut. Mereka memusnahkan kawasan yang mereka ditempatkan dan membaling barangan mereka ke luar tingkat. Mereka turut menyebabkan banjir," kata Long.

Sebelum ini puluhan banduan dipindahkan dari Penjara St Louis ke fasiliti lain selepas terlibat dalam rusuhan pada bulan Disember dan Januari lepas.

Banduan terbabit dikatakan tidak berpuas hati dengan keadaan dalam penjara itu akibat pandemik COVID-19.

"Saya rasa mereka juga tertekan abkibat sekatan yang dikenakan bagi mengawal penularan virus COVID-19, seperti kami semua.

"Prosiding mahkamah ditangguhkan dan ahli keluarga dilarang adakan lawatan," tambah Long.