BANGKOK: Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengisytiharkan daerah Nong Chok, Suan Luang dan Khan Na Yao sebagai kawasan bencana banjir susulan hujan lebat berterusan yang menjejaskan perjalanan serta akses ke kawasan terlibat.
BMA dalam satu kenyataan berkata pengisytiharan itu bertujuan membolehkan agensi berkaitan memasuki kawasan terjejas, melaksanakan tugas dan mengambil tindakan segera mengikut bidang kuasa serta tanggungjawab masing-masing.
“Pentadbiran Metropolitan Bangkok akan terus memantau keadaan dengan rapi dan mengambil tindakan lanjut mengikut prosedur serta peraturan berkaitan sekiranya kawasan lain memenuhi kriteria untuk diisytiharkan sebagai kawasan terjejas bencana awam,” menurut kenyataan itu.
BMA berkata banjir menyukarkan perjalanan dan akses ke kawasan terjejas, menjejaskan orang ramai serta menimbulkan risiko terhadap nyawa dan keselamatan, selain berpotensi menyebabkan kerosakan kepada harta awam dan kerajaan.
Sehubungan itu, keadaan berkenaan dikategorikan sebagai bencana awam di bawah Akta Pencegahan dan Mitigasi Bencana 2007.
Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt, atas kapasitinya sebagai Pengarah Pentadbiran Metropolitan Bangkok, menandatangani pengisytiharan itu pada 25 Sept yang meliputi 13 subdaerah di tiga daerah berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) Theerapat Kachamat berkata banjir menjejaskan 11,796 isi rumah atau 37,036 penduduk di 12 wilayah di utara, tengah, timur dan timur laut Thailand setakat 25 Sept.
Wilayah terjejas ialah Phetchabun, Nakhon Sawan, Uthai Thani, Sing Buri, Suphan Buri, Saraburi, Phra Nakhon Si Ayutthaya, Prachin Buri, Chachoengsao, Sa Kaeo, Trat dan Surin.
Theerapat berkata hujan lebat di beberapa kawasan sejak beberapa hari lalu, ditambah aliran air dari utara ke wilayah tengah, menyumbang kepada kejadian banjir.
DDPM melaporkan banjir menjejaskan 38 daerah, 143 subdaerah dan 596 kampung di 12 wilayah itu, dengan paras air meningkat di beberapa kawasan termasuk Suphan Buri, Chachoengsao dan Sa Kaeo.
Dalam perkembangan lain, hujan lebat sepanjang malam di Chon Buri menyebabkan banjir di Sattahip hingga menenggelami kira-kira satu kilometer Jalan Sukhumvit dan menjejaskan aliran trafik dengan teruk.
Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat di beberapa bahagian negara itu termasuk Bangkok dan wilayah sekitarnya sehingga 27 Sept, dengan amaran kemungkinan banjir kilat dan air bertakung di kawasan berisiko.
-- BERNAMA