Skip to main content

Dunia

Bangladesh mohon India ekstradisi bekas Menteri Dalam Negeri

Sumber: FB Asaduzzaman Khan
Pada awal Isnin, Tribunal Jenayah Antarabangsa di Dhaka yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Kamal (gambar) memaklumkan, satu lagi surat permohonan ekstradisi telah dihantar kepada India menerusi Kementerian Luar.
Advertisement

DHAKA: Bangladesh mengemukakan permohonan rasmi kepada India supaya mengekstradisi bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal, sekutu rapat bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina yang digulingkan dan dijatuhi hukuman mati, lapor Anadolu Ajansi.

Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar, Shama Obaed Islam memberitahu wartawan di Dhaka, pihaknya baru-baru ini menghantar surat kepada New Delhi berhubung bekas Menteri Dalam Negeri itu.

Surat berasingan turut dihantar bagi memohon kepulangan individu yang melarikan diri ke India selepas disabitkan kesalahan oleh mahkamah di Bangladesh.

Pada awal Isnin, Tribunal Jenayah Antarabangsa di Dhaka yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Kamal memaklumkan, satu lagi surat permohonan ekstradisi telah dihantar kepada India menerusi Kementerian Luar.

Pada November tahun lepas, kerajaan sementara Bangladesh menghantar surat bagi memohon ekstradisi Hasina dan Kamal berdasarkan perjanjian ekstradisi yang berkuat kuasa antara kedua-dua negara.

“Kami telah berulang kali menyatakan bahawa Asaduzzaman Khan Kamal akan dibawa pulang ke negara ini dan kepulangannya akan dilaksanakan mengikut prinsip serta protokol diplomatik, selain perjanjian ekstradisi dengan India. 

"Sheikh Hasina dan tertuduh lain juga akan ditangani dengan cara yang sama. 

“Kami mengutus surat baru-baru ini dan akan menunggu maklum balas mereka. 

"Kami berharap India memberikan jawapan positif serta menunaikan tanggungjawabnya bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.

India sebelum ini memaklumkan, pihaknya akan meneliti permohonan ekstradisi berkenaan sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Hasina dan Kamal berada dalam buangan di India sejak kebangkitan rakyat pada 2024.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 1,400 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera dalam kebangkitan itu.

Selain anggota penguat kuasa, ahli serta sekutu parti pemerintah ketika itu, Liga Awami turut terlibat secara aktif dalam tindakan keras terhadap kebangkitan pimpinan pelajar yang menamatkan pemerintahan Hasina selama 15 tahun.

Pada November tahun lepas, Hasina dan Kamal dijatuhi hukuman mati selepas didapati bertanggungjawab di sisi undang-undang atas pembunuhan berkenaan berdasarkan doktrin tanggungjawab pemerintah.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement