Skip to main content

Dunia

Bangladesh mohon WHO jalankan siasatan susulan kematian akibat campak melebihi 500

Parents help children infected with measles to adjust their nebuliser masks while receiving treatment at the DNCC Hospital, following an outbreak across the country, in Dhaka, Bangladesh, May 6, 2026. REUTERS/Mohammad Ponir Hossain
Ibu bapa membantu kanak-kanak yang dijangkiti campak menyesuaikan topeng nebuliser mereka ketika menerima rawatan di Hospital DNCC susulan wabak yang melanda negara tersebut, di Dhaka, Bangladesh. - Foto REUTERS

DHAKA: Bangladesh meminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjalankan siasatan awal berhubung situasi campak yang semakin buruk di negara itu, yang telah menyebabkan lebih 500 kanak-kanak maut dan ramai lagi dijangkiti, kata penasihat khas kepada perdana menteri pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Kami secara tidak rasmi meminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjalankan siasatan bebas bagi menentukan mengapa situasi campak semakin buruk ketika ini,” kata penasihat khas perdana menteri bagi hal ehwal kesihatan, Ziauddin Haider kepada pemberita di Dhaka. 

Wabak itu bermula pada Mac.

Beliau berkata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memberikan maklum balas positif.

Kerajaan melaporkan kematian 13 lagi kanak-kanak dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kematian mencecah 512 sejak wabak itu bermula.

Daripada jumlah itu, 86 kanak-kanak disahkan dijangkiti campak, manakala selebihnya meninggal dunia dengan gejala penyakit itu, menurut kenyataan rasmi.

Lebih 62,000 kanak-kanak dimasukkan ke hospital di seluruh negara dengan gejala campak sejak wabak bermula.

Langkah kerajaan itu dibuat beberapa hari selepas seorang pegawai UNICEF di Dhaka berkata dalam sidang media bahawa agensi itu telah menghantar lima surat kepada pentadbiran sementara terdahulu yang diketuai Muhammad Yunus, memberi amaran bahawa situasi campak boleh bertambah buruk.

Banyak parti politik dan pertubuhan sosial mengkritik pentadbiran sementara kerana tidak mengambil langkah mencukupi bagi menangani kekurangan vaksin campak.

Mereka turut menuntut hukuman terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kematian ratusan kanak-kanak yang mengalami gejala campak.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement