Ringkasan AI
- Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan di Kajang, Serdang dan Kuala Langat.
- Enam kenderaan curi berjaya dirampas dalam operasi, manakala ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
- Kesemua suspek direman empat hari dan usaha mengesan beberapa lagi individu terlibat sedang dijalankan.
KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita, semalam, disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan di sekitar Kajang, Serdang dan Kuala Langat.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kesemua individu berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerusi Ops Lejang antara 3.45 petang hingga 7.45 malam.
Beliau berkata tangkapan itu hasil maklumat dan risikan susulan laporan polis yang diterima pada 1.20 pagi Ahad lepas berhubung kejadian kecurian kereta jenis Proton Iswara di kawasan Kajang Utama.
"Polis turut berjaya merampas semula enam kenderaan yang disyaki dicuri suspek iaitu Proton Iswara, Nissan Vanette, Proton Wira Aeroback, Mazda E2200 serta dua lori jenis Toyota dalam satu lagi siri operasi bermula semalam hingga hari ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Naazron berkata siasatan awal mempercayai mereka mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah lain di Kajang, Serdang dan Kuala Langat.
Beliau berkata semakan rekod lampau mendapati kesemuanya memiliki rekod berkaitan kesalahan jenayah dan narkotik, selain saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Ketiga-tiganya kini direman empat hari bagi membantu siasatan, manakala usaha mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan sedang giat dijalankan,” katanya.
-- BERNAMA