Angka rasmi kematian akibat banjir yang menjejaskan 32 daripada 77 wilayah di Thailand kini mencecah 22 orang.

Menurut Jabatan Bantuan dan Pencegahan Bencana, kira-kira 2.789 juta orang terjejas akibat banjir dan daripada jumlah itu, 1.69 juta adalah dari tiga wilayah iaitu Surin, Srisaket serta Ubon Racha Thani.

Situasi banjir di Surin belum pulih manakala Srisaket bertambah baik dengan paras air semakin menurun kerana mengalir ke daerah Warin Chamrarb di Ubon Rathcha Thani, yang menyaksikan paras air semakin meningkat.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan nasihat berkaitan taufan WUTIP, yang dijangka tiba di Nakorn Pranom, timur laut Thailand.

Ia turut meramal hujan lebat di wilayah bersempadan di timur laut dan bahagian utara Thailand esok.

Wilayah yang dijangka terjejas ialah Nakhon Phanom, Mukdahan, Kalasin, Nong Khai, Bueng Kan, Sakon Nakhon, Udon Thani, Nong Bua Lamphu, Loei, Khon Kaen dan Chaiyaphum, semuanya di timur laut manakala di bahagian utara ialah Phitsanulok dan Phetchabun provinces.