HANOI: Sekurang-kurangnya empat orang disahkan maut manakala empat lagi masih hilang selepas banjir kilat melanda sebuah perkampungan pergunungan di wilayah Lai Chau, utara Vietnam.
Menurut Agensi Berita Vietnam, kejadian di Kampung Muong Than pada awal pagi Jumaat itu berpunca daripada hujan lebat berterusan yang melanda beberapa kawasan di wilayah berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Insiden tersebut turut menyebabkan tujuh penduduk cedera.
Rakaman yang disiarkan agensi berita nasional itu menunjukkan lumpur dan air banjir menenggelami kawasan perkampungan, manakala timbunan batu serta kayu besar menghalang laluan jalan raya yang rosak.
Sejak Rabu lalu, banjir kilat dan tanah runtuh akibat cuaca ekstrem dilaporkan merosakkan rangkaian jalan raya, sistem bekalan elektrik dan ratusan kediaman penduduk, selain menenggelamkan kira-kira 28 hektar kawasan pertanian di rantau berkenaan.
Agensi pengurusan bencana Vietnam turut mengeluarkan amaran bahawa beberapa kawasan di utara negara itu dijangka menerima taburan hujan sehingga 250 milimeter pada Sabtu, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat dan tanah runtuh susulan.
Vietnam sering berdepan ancaman ribut tropika dan banjir sepanjang musim tengkujuh yang lazimnya memuncak antara Julai hingga September setiap tahun.
Menurut data rasmi kerajaan, bencana alam terutama banjir meragut 489 nyawa di negara itu sepanjang tahun 2025.