Skip to main content
Advertisement

Sukan

Mbappe mohon maaf selepas komen mengenai pemimpin China, Mao Zedong cetus kontroversi

Botol minuman elektrolit keluaran Dongpeng Beverage Group yang memaparkan imej bintang bola sepak Perancis, Kylian Mbappé, dipamerkan untuk jualan di sebuah pasar raya di Beijing, China, pada Selasa. - Gambar AP
Botol minuman elektrolit keluaran Dongpeng Beverage Group yang memaparkan imej bintang bola sepak Perancis, Kylian Mbappé, dipamerkan untuk jualan di sebuah pasar raya di Beijing, China, pada Selasa. - Gambar AP

Advertisement

BEIJING: Bintang bola sepak Perancis, Kylian Mbappé, memohon maaf selepas kenyataannya yang dipercayai merujuk kepada Mao Zedong, pemimpin pengasas Republik Rakyat China mencetuskan kecaman dan menyebabkan beberapa syarikat China menamatkan kerjasama dengannya.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Mbappé mengakui kenyataannya itu tidak wajar dan telah menyinggung perasaan ramai pihak.

“Kenyataan saya itu tidak dibuat dengan pertimbangan yang sewajarnya dan kini saya memahami bahawa ia telah menyinggung perasaan ramai individu di China serta komuniti China di seluruh dunia.

“Saya memohon maaf kepada semua yang tersinggung dengan kata-kata saya. Itu bukanlah niat saya. Saya amat menghormati rakyat China dan sejarah mereka, dan saya benar-benar kesal,” katanya.

Kontroversi itu tercetus selepas rakaman video yang memaparkan Mbappé menjawab soalan mengenai meme kegemarannya tersebar di platform X.

Dalam rakaman tersebut, Mbappé merujuk kepada satu video yang memaparkan wajahnya disunting pada tubuh Mao Zedong, sambil menyebut individu berkenaan sebagai seorang “diktator China.”

Dalam kalangan peminat bola sepak di media sosial, Mbappé sering dijadikan bahan jenaka dengan digambarkan sebagai pemimpin autoritarian kerana pengaruh besarnya dalam pasukan yang diwakilinya. 

Meme yang menggambarkannya sebagai Mao atau pemimpin autokratik lain turut tular secara meluas.

Susulan insiden itu, beberapa syarikat terkemuka China mengumumkan penamatan kerjasama komersial dengan pemain berkenaan.

Pengeluar minuman Dongpeng, gergasi tenusu Mengniu dan pengeluar keju Milkground memaklumkan bahawa mereka menentang sebarang “kata-kata atau tindakan yang menyinggung perasaan kebangsaan” dan mengambil keputusan menamatkan perjanjian dengan Mbappé.

Walaupun syarikat-syarikat tersebut tidak menjelaskan secara langsung punca keputusan itu, kenyataan mereka dikeluarkan selepas video berkenaan menjadi perhatian umum.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata, sebarang kata-kata atau tindakan yang menyinggung perasaan rakyat China sememangnya akan berdepan tentangan daripada pelbagai lapisan masyarakat negara itu.

Platform media sosial RedNote turut mengumumkan penamatan bahan promosi berkaitan Mbappé. 

Syarikat itu menyatakan kerjasama kandungannya dengan pemain tersebut sebenarnya telah berakhir pada 31 Disember 2024, namun tetap menegaskan pendirian menolak sebarang tindakan yang menyinggung sentimen nasional.

Pada hari yang sama, akaun Mbappé di RedNote turut disekat daripada menerima pengikut baharu.

Mbappé sebelum ini merupakan wajah popular dalam pelbagai kempen pengiklanan di China, termasuk bagi produk minuman elektrolit, susu dan keju.

Dalam satu iklan Dongpeng, beliau menyampaikan slogan dalam bahasa Mandarin, manakala dalam kempen Mengniu, beliau muncul bersama legenda bola sepak Argentina, Lionel Messi.

Di media sosial China, reaksi terhadap kontroversi itu kebanyakannya negatif. Tanda pagar berkaitan penamatan kerjasama Mbappé oleh beberapa jenama utama menjadi antara topik paling hangat di platform Weibo, manakala sebahagian pengguna menggesa peminat bola sepak memboikot pemain berusia 27 tahun itu dan menyuarakan kemarahan terhadap kenyataannya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement