Skip to main content
Advertisement

Sukan

Aaron-Roy King mulakan Terbuka Hylo 2026 dengan langkah kanan

Aaron-Roy King (gambar) mara ke pusingan kedua Terbuka Hylo 2026 selepas mudah menewaskan beregu Jerman Malik Borakkadi-Kenneth Neumann dalam 28 minit. --fotoBERNAMA
Aaron-Roy King (gambar) mara ke pusingan kedua Terbuka Hylo 2026 selepas mudah menewaskan beregu Jerman Malik Borakkadi-Kenneth Neumann dalam 28 minit. --fotoBERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King memulakan kempen pada Kejohanan Badminton Terbuka Hylo 2026 dengan langkah kanan selepas meraih kemenangan mudah pada pusingan pertama semalam. 

Pada aksi yang berlangsung di Saarlandhalle, Saarbrucken, Jerman itu, pasangan ranking ke-74 dunia berkenaan hanya mengambil masa 28 minit untuk menewaskan beregu tuan rumah yang menghuni ranking ke-63 dunia Malik Borakkadi-Kenneth Neumann, 21-11, 21-12.

Kemenangan itu hadir selepas kejayaan Aaron-Roy King menjuarai kejohanan Super 500 Terbuka Artik di Vantaa, Finland tiga minggu lepas, iaitu gelaran pertama mereka sejak digandingkan semula susulan rombakan oleh jurulatih beregu lelaki negara Herri Iman Pierngadi.

Pasangan negara itu kini beraksi pada kejohanan Eropah keempat berturut-turut selepas turut menyertai Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis, namun terkandas pada pusingan kedua dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.

Mereka dijadualkan menentang sama ada pilihan utama Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia atau beregu England ranking ke-40 dunia Alex Green-Zach Russ pada pusingan kedua pada Khamis ini.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement