KUALA LUMPUR: Kerajaan Nepal melaksanakan mekanisme satu saluran bagi menyelaras penghantaran dan pengagihan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di negara itu bagi mengurangkan pertindihan usaha dalam operasi bantuan.
Penyelaras Program Islamic Relief Nepal, Ichharam Thapa Magar berkata, mekanisme itu membolehkan bantuan daripada pelbagai agensi dikumpul dan disalurkan mengikut keperluan di kawasan terjejas.
“Penyelarasan yang dikendalikan kerajaan Nepal amat berkesan bagi bencana ini, berbanding bencana terdahulu seperti gempa bumi pada 2015.
“Kerajaan melaksanakan mekanisme satu saluran bagi mengurus serta menyalurkan bantuan kepada komuniti dan keluarga yang terjejas,” katanya dalam rancangan Agenda AWANI pada Isnin.
Jelasnya, penduduk termasuk kanak-kanak di beberapa kawasan terjejas masih terputus hubungan selepas kemusnahan jalan dan jambatan, dengan pemindahan melalui udara menjadi antara satu-satunya pilihan untuk membawa mereka ke kawasan selamat.
Bagi Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) pula, koordinasi bukan sekadar menyatukan usaha agensi bantuan.
Pengurus Operasi IFRC, Matt Baden berkata, kepakaran dan pengetahuan pihak tempatan di lapangan turut menjadi kunci, terutama dalam menentukan di mana dan bagaimana bantuan perlu disalurkan.
“Persekutuan antarabangsa berperanan menyokong persatuan kebangsaan di peringkat tempatan. Persatuan Palang Merah Nepal merupakan antara organisasi kemanusiaan utama di negara itu dan mempunyai cawangan di banyak daerah, termasuk kawasan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
“Persatuan itu mempunyai lebih 90,000 sukarelawan di seluruh negara yang berada dalam komuniti masing-masing. Jadi, tugas kami sebagai pengurus operasi adalah untuk menyokong persatuan kebangsaan dalam memastikan bantuan dapat disampaikan mengikut keperluan dan ke kawasan yang memerlukannya,” katanya.