Skip to main content

Dunia

Bank Indonesia terus campur tangan pasaran ketika rupiah melemah

81670317120_INDONESIANRUPIAH.jpg
Rupiah didagangkan pada sekitar Rp17,426 berbanding setiap dolar AS setakat 10.41 pagi waktu tempatan pada Selasa, berdasarkan harga spot di pasaran pertukaran asing global.

JAKARTA: Bank Indonesia (BI) akan terus campur tangan dalam pasaran bagi memastikan kelancaran fungsi ketika rupiah melemah kepada sekitar 17,400 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan tekanan global yang berterusan.

Ketua Jabatan Pengurusan Monetari dan Aset BI, Erwin Gunawan Hutapea, berkata bank pusat itu terus mengoptimumkan intervensi dalam pasaran pertukaran asing melalui transaksi hadapan tanpa serahan (NDF) di pasaran luar pesisir, serta transaksi rani (spot) dan NDF domestik di pasaran tempatan.

Beliau menambah bahawa BI turut membeli sekuriti kerajaan di pasaran sekunder.

“Langkah ini dilaksanakan secara konsisten bagi mengekalkan kestabilan kadar pertukaran rupiah dalam keadaan tekanan global yang berterusan,” katanya, menurut Agensi Berita Antara pada Selasa.

Rupiah didagangkan pada sekitar Rp17,426 berbanding setiap dolar AS setakat 10.41 pagi waktu tempatan pada Selasa, berdasarkan harga spot di pasaran pertukaran asing global.

Erwin berkata pergerakan rupiah secara keseluruhan sejajar dengan kebanyakan mata wang pasaran sedang pesat membangun lain dalam keadaan ketidaktentuan yang meningkat, termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Beliau berkata rizab pertukaran asing Indonesia berjumlah US$148.2 bilion pada akhir Mac 2026, susut sebanyak US$3.7 bilion daripada US$151.9 bilion yang dicatatkan pada Februari.

Walaupun menurun, Erwin berkata paras rizab itu kekal kukuh, bersamaan pembiayaan 6.0 bulan import atau 5.8 bulan import serta bayaran balik hutang luar kerajaan, jauh melebihi penanda aras kecukupan antarabangsa sekitar tiga bulan import.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video