RAMALLAH: Program Makanan Sedunia (WFP) berkata bantuan kepada keluarga di Tebing Barat dikurangkan separuh berikutan kekurangan dana, menyebabkan hampir 200,000 orang tidak mendapat bantuan ketika keperluan meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua tahun lalu.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan Pengarah WFP bagi Palestin Shaun Hughes berkata “keganasan peneroka yang semakin meningkat dan operasi ketenteraan Israel, ditambah dengan krisis ekonomi serta peningkatan pengangguran, memburukkan lagi ketidakjaminan makanan.”
Beliau berkata satu pertiga daripada penduduk Tebing Barat bergelut untuk memenuhi keperluan asas mereka.
Beliau berkata di Semenanjung Gaza, WFP mengurangkan bantuan tunai kepada kira-kira 75,000 keluarga pada Julai lalu, sambil memberi amaran sehingga 90 peratus penduduk mungkin berdepan tahap ketidakjaminan makanan akut yang tinggi menjelang akhir tahun sekiranya bantuan kemanusiaan tidak diteruskan.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai potensi krisis kesihatan awam di Gaza pada musim sejuk, susulan pencemaran air dan kemerosotan perkhidmatan sanitasi.
WHO merekodkan peningkatan kes cirit-birit berair akut daripada kira-kira 30,000 pada Mac kepada lebih 58,000 pada Ogos.
Organisasi itu sedar lebih 6,600 orang memerlukan penjagaan jangka panjang selepas menjalani amputasi, manakala hanya 12 peratus daripada mereka yang cedera sejak Oktober 2023 menerima anggota prostetik setakat Julai.
WHO menggesa supaya kemasukan bekalan perubatan dan makmal serta anggota prostetik dipercepatkan, di samping memastikan akses kepada air bersih dan menambah baik pengurusan sisa.
-- BERNAMA-WAFA